Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 October 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

27

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana pelaksanaan Bursa Carbon Exchange (BCX) dan The Forest Carbon Offset (FCO) berjaya menjana hasil negara dan apakah dasar Kementerian memastikan manfaat perdagangan karbon sampai kepada rakyat serta tidak dimonopoli oleh pihak tertentu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah memberi mandat kepada Malaysia Forest Fund (MFF) untuk membangunkan dan mengoperasikan Forest Carbon Offset (FCO) yang berfungsi sebagai instrumen kewangan inovatif berasaskan pasaran bagi membolehkan pemindahan penyingkiran atau pengurangan pelepasan GHG kepada pembeli dalam bentuk kredit karbon. Instrumen ini memainkan dwi peranan dalam menggalakkan aktiviti-aktiviti pemulihan, pemuliharaan dan perlindungan hutan, di samping membantu syarikat-syarikat yang berusaha mengurangkan jejak karbon dalam operasi mereka. FCO merupakan sistem pengkreditan karbon kebangsaan bagi mentadbir, mengukur, menentusahkan dan mempersijilkan kredit karbon yang dihasilkan melalui sektor perhutanan.


  1. Pada masa ini, pihak MFF sedang melaksanakan usaha-usaha wajar bagi memuktamadkan komponen-komponen utama di bawah FCO. Ini termasuklah empat (4) metodologi atau perakaunan GHG utama, iaitu Reducing Emission from Deforestation and Forest Degradation (REDD), Improved Forest Management (IFM), Afforestation, Reforestation, Restoration (ARR) dan Wetland Ecosystem (WE).


  1. Bagi memastikan instrumen yang dibangunkan ini boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan negara serta bersesuaian dengan keadaan serta konteks tempatan, MFF akan melaksanakan projek rintis bagi menguji keberkesanan metodologi atau perakaunan gas rumah kaca (GHG) yang telah dibangunkan di bawah instrumen FCO. Sebarang dapatan yang diperoleh daripada pelaksanaan projek rintis akan menyumbang kepada pemerkasaan FCO, sekali gus memastikan keberkesanan, kredibiliti, serta kelestarian jangka panjangnya. Dalam konteks ini, FCO dijadualkan akan mula dioperasikan seawalnya pada tahun 2026.


  1. Selain dari menjadi piawaian domestik untuk menjana kredit karbon yang boleh di dagangkan di dalam platform pasaran sukarela seperti Bursa Carbon Exchange (BCX). Selian itu, Kementerian juga berhasrat agar FCO dapat memperoleh pengiktirafan bersama (mutual recognition) dengan sistem piawaian antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard untuk menembusi pasaran karbon sukarela dan pematuhan di negara-negara lain di peringkat serantau dan antarabangsa.


  1. FCO juga berpotensi untuk digunakan bagi memenuhi obligasi pematuhan seperti cukai karbon atau di bawah skim pasaran karbon pematuhan bagi syarikat penerbangan yang dikenali sebagai Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA). 


  1. Bagi memastikan manfaat pasaran karbon mencapai hasrat yang direncanakan oleh pihak Kementerian, satu dasar baharu iaitu Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini sebagai kerangka utama yang akan memacu inisiatif pasaran karbon di Malaysia. DPKK turut menekankan keperluan memastikan manfaat bersama (co-benefits) seperti perlindungan biodiversiti, peluang pekerjaan sektor hijau (green jobs), penyertaan komuniti dan orang asal, perkongsian manfaat, serta pengurusan aktiviti guna tanah secara lestari. DPKK tidak seharusnya dilihat sebagai kerangka pemacu pendapatan baharu semata-mata, kerana ianya dirangka memfokuskan kepada hasrat untuk mengembleng usaha dan kewangan di pihak swasta dan awam di dalam melaksanakan langkah mitigasi dan adaptasi bagi menangani perubahan iklim.


  1. Justeru itu, Kementerian turut merangka usaha yang holistik melalui penggubalan Rang Undang-undang Perubahan Iklim (RUUPIN) bagi memastikan bahawa hasil dari penjanaan kredit karbon serta perdagangan karbon kelak akan turut disalurkan ke Dana Perubahan Iklim, untuk menampung kos serta keperluan kewangan bagi melaksanakan usaha serta inisiatif rendah karbon, pengurangan pelepasan gas rumah kaca serta usaha adaptasi kepada perubahan iklim di seluruh negara. Garis panduan yang telus dan sistematik akan dibangunkan bagi memastikan integriti tadbir urus pasaran karbon.


Sekian, terima kasih.

Attachments