Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 12 | Soalan | Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan [ Sri Gading ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana MetMalaysia dan (JMG) telah melakukan kajian saintifik untuk mengesan punca berlakunya gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat, serta adakah fenomena ini mempunyai kaitan dengan pergerakan sesar aktif. Daerah lain mana yang berisiko di masa hadapan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
- Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan kerjasama MET Malaysia, universiti tempatan dan agensi-agensi teknikal yang berkaitan telah melaksanakan kajian bagi menghasilkan Peta Bahaya Seismik Malaysia yang telah diterbitkan pada tahun 2017.
- Peta Bahaya Seismik digunapakai bagi tujuan reka bentuk struktur tahan gempa dalam mitigasi kejuruteraan dengan rujukan: Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance- Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings oleh Jabatan Standard Malaysia. Susulan kejadian gempa terkini di Segamat dan Batu Pahat, Kementerian akan memperkukuh inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan berikut:
- pengemaskinian peta bahaya seismik Malaysia dengan mengambilkira maklumat-maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi terkini, kewujudan sesar aktif, bahan geologi dan maklumat siasatan tanah.
- perluasan kajian pemetaan sesar aktif dan penilaian bencana geologi gempa bumi ke negeri Johor.
- perluasan peta bahaya seismik dalam reka bentuk bangunan tahan gempa
- Kejadian gempa bumi yang telah berlaku di Segamat dan Batu Pahat adalah satu proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar-sesar kuno bagi menstabilkan semula kerak bumi. Dipengaruhi oleh lanjutan zon Sesar Mersing, iaitu sistem sesar utama di Johor Timur. Justeru berdasarkan data-data sedia ada dan data terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat.
Seterusnya berhubung risiko Gempa di daerah-daerah lain,
- Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, ancaman bencana geologi gempa bumi berlaku di zon-zon sesar yang wujud di seluruh Malaysia. Sehubungan itu, kajian dan pemantauan secara berterusan akan dibuat di sepanjang zon-zon sesar ini bagi meningkatkan pencegahan dan kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko bencana gempa bumi ini.
- Berdasarkan kajian pemetaan sesar aktif JMG dan Peta Seismotektonik Malaysia, antara zon-zon sesar yang telah dikenalpasti yang terdedah kepada ancaman gempa bumi adalah di Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|