Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 1 | Soalan | Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah [ Paya Besar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : - sejauh mana ketersediaan serta perkembangan ekosistem pasaran dagang karbon negara; dan
- berapakah jumlah senarai memorandum persefahaman (MoU) bilateral yang telah Kerajaan termeterai dalam pasaran kredit karbon negara berdasarkan
- Nationally Determined Contribution (NDC) menurut Artikel 6.2 Perjanjian Paris.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
- Di bawah pasaran pematuhan, Perjanjian Paris di bawah United Nation Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) telah menubuhkan dua mekanisme pasaran karbon iaitu mekanisme Artikel 6 perenggan 2 iaitu mekanisme pendekatan kerjasama dua hala dan juga mekanisme Artikel 6 perenggan 4 iaitu mekanisme perdagangan yang dikelola oleh pihak UNFCCC yang dikenali sebagai Paris Agreement Crediting Mechanism (PACM).
- Pelaksanaan kedua-dua mekanisme ini membolehkan projek karbon di Malaysia yang akan menyumbang kepada pengurangan atau penyingkiran gas rumah kaca (GHG) di Malaysia. Dalam masa yang sama, pelaksanaan projek karbon tersebut akan turut menyumbang kepada pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran teknikal dan mewujudkan peluang pekerjaan hijau di Malaysia.
- Pada masa ini, Kementerian sedang memuktamadkan pembangunan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang menetapkan asas bagi pelaksanaan Artikel 6.2 dan Artikel 6.4, dan dalam masa yang sama turut menyokong pertumbuhan pasaran karbon sukarela (VCM) di Malaysia.
- Buat masa ini, pelaksanaan pasaran karbon sukarela di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX) telah dilancarkan dan terbuka untuk perdagangan kredit karbon secara sukarela sejak 25 September 2023. Kerajaan menjangkakan mekanisme pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6.2 dan Artikel 6.4 di bawah Perjanjian Paris untuk beroperasi seawal tahun 2026 dengan pelaksanaan DPKK. Buat masa ini, Kerajaan juga sedang mempertimbangkan permohonan projek di bawah Clean Development Mechanism (CDM) [DENGAN IZIN] untuk beralih ke mekanisme pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6.4.
- Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia telah menandatangani dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dua hala di bawah Artikel 6 perenggan 2 Perjanjian Paris, iaitu dengan Republik Korea (Korea Selatan) pada 25 November 2024 dan dengan Singapura pada 7 Januari 2025. Kedua-dua MoU ini membolehkan Republik Korea dan Singapura untuk membuat pelaburan bagi pelaksanaan projek karbon di Malaysia.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|