Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

10 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

55

Soalan

Senator Puan Noorita binti Sual minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh manakah strategi Kementerian untuk memperkukuhkan komitmen bagi menjaga kelestarian alam dan daya tahan terhadap bencana dan sejauh manakah keberkesanan strategi dan polisi negara ketika ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Ancaman impak yang disebabkan oleh perubahan iklim seperti banjir, episod kemarau berpanjangan serta kenaikan aras air laut akan memberikan kesan terhadap pelbagai sektor ekonomi serta mengancam kesejahteraan penduduk. 


  1. Bagi perancangan jangka masa pendek, Kementerian ini telah melaksanakan program Kesedaran Awam Perubahan Iklim (Communication, Educational, Public Awareness - CEPA) untuk membentuk kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat mengenai isu perubahan iklim di peringkat antarabangsa dan nasional berdasarkan prinsip whole of nation approach. Program CEPA ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan golongan sasar seperti berikut:
  1. sesi bersama golongan belia termasuk persatuan belia serta graduan universiti untuk memupuk kesedaran dan menyuntik naratif baharu bagi memperkasa penglibatan belia ke arah penyelesaian isu perubahan iklim di Malaysia;
  2. pembangunan kapasiti dan kesedaran bersama kementerian/ agensi Kerajaan, Kerajaan Negeri, sektor swasta, badan akademik dan NGO;
  3. penganjuran seminar dalam talian (webinar) berkaitan perubahan iklim dan pembangunan rendah karbon antaranya mengenai topik pelepasan gas rumah kaca sifar bersih (net-zero) dan agenda kelestarian;
  4. sesi temu bual dalam program temu bual di media elektronik dan media cetak yang memberi penekanan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan berkaitan perubahan iklim;
  5. bekerjasama dengan agensi antarabangsa seperti United Nations Development Programme (UNDP) dan United Nations Children's Fund (UNICEF) bagi melaksanakan kaji selidik kesedaran dan program pembangunan kapasiti berkaitan perubahan iklim di Malaysia; 
  6. memperkasa peranan NGO, pertubuhan masyarakat, pertubuhan belia dan individu menerusi penubuhan Panel Konsultasi Perubahan Iklim. Panel ini akan menjadi medium perantara bagi menyampaikan maklumat berkaitan perubahan iklim kepada komuniti dan masyarakat.


  1. Inisiatif mengatasi perubahan iklim ini juga turut memerlukan perancangan masa panjang yang teliti. Menyedari hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). 
  2. Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. MyNAP ini adalah bersifat menyeluruh dan akan memerlukan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat pusat dan kerajaan negeri.


  1. Di samping itu juga, Kementerian ini juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini digubal adalah untuk memastikan tindakan-tindakan mitigasi dan adaptasi yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.


  1. Setakat ini masih terlalu awal bagi kita untuk menilai keberkesanan strategi dan polisi yang telah dicadangkan bagi menjaga kelestarian alam dan daya tahan terhadap bencana alam, namun begitu kementerian ini tetap komited dalam usaha memperkukuh keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dan mengurus risiko bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim.


Sekian, terima kasih.


Attachments