Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

10 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

53

Soalan

Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan mekanisme penetapan harga karbon yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dan tempoh masa dasar ini akan dimuktamadkan selepas kajian kebolehlaksanaan mekanisme penetapan karbon selesai dijalankan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Selaras dengan komitmen Nationally Determined Contributions (NDC) untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% intensiti karbon menjelang 2030, terdapat dua (2) mekanisme utama penetapan harga karbon yang telah dikenalpasti untuk dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu cukai karbon yang dijadual dilaksanakan mulai tahun 2026 dan Skim Perdagangan Pelepasan (Emissions Trading Scheme  - ETS). 


  1. Bagi cukai karbon, YAB Perdana Menteri dalam Pembentangan Belanjawan 2025 telah mengumumkan pelaksanaan mekanisme cukai karbon pada tahun 2026. Dalam hal ini, Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama World Bank Group (WBG) serta kementerian dan agensi berkaitan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan mekanisme penetapan harga karbon [Partnership for Market Implementation (PMI) and PMI Readiness Support Plan (RSP)] di Malaysia. Hasil kajian tersebut akan dapat memberikan gambaran kebolehlaksanaan keseluruhan mekanisme penetapan harga karbon (carbon pricing) bagi Cukai Karbon dan Skim Perdagangan Pelepasan (Emissions Trading Scheme - ETS). Kajian tersebut dijangka akan selesai sepenuhnya pada tahun ini.


  1. Bagi Skim Perdagangan Pelepasan atau ETS, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030,  telah menggariskan pelaksanaan ETS di Malaysia di mana di bawah tonggak “Meningkatkan Kerencaman Ekonomi", Kerajaan telah mengenalpasti ETS sebagai mekanisme bagi memudahcara perdagangan karbon dan mengukuhkan ekonomi hijau di Malaysia.


  1. Secara umumnya, salah satu peruntukan di bawah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) iaitu peruntukan pelaporan fasiliti  akan digunapakai bagi membolehkan fasiliti-fasiliti yang terlibat untuk membuat pelaporan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang dibebaskannya. 


  1. Pelaporan fasiliti ini penting bagi pelaksanaan kedua-dua mekanisme cukai karbon dan ETS ini kerana ianya merupakan fasa permulaan dan langkah pertama dalam pelaksanaan mekanisme-mekanisme ini. RUUPIN dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025.


Sekian, terima kasih.


Attachments