Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 10 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 48 | Soalan | Senator Datuk Rosni binti Sohar minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah faktor-faktor yang mendorong kemasukan berterusan ribuan tan e-waste haram dari negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia ke Malaysia melalui pelabuhan-pelabuhan utama, dan apakah langkah tegas yang perlu diambil oleh negara bagi menghentikan aktiviti penyeludupan ini secara menyeluruh.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Kementerian telah mengenal pasti beberapa faktor yang mendorong kemasukan secara berterusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) ke Negara ini iaitu:
- Negara ASEAN menjadi antara destinasi popular selepas China mengetatkan kemasukan sisa barangan ke negara itu pada 2018;
- Nilai e-waste yang tinggi kerana mengandungi logam bernilai tinggi seperti emas, perak, kuprum, dan palladium yang boleh diperoleh semula;
- Terdapat negara yang tidak menandatangani Konvensyen Basel bagi mengawal pergerakan buangan berbahaya. Ini menyebabkan e-waste yang keluar dari negara berkenaan tidak dianggap sebagai kesalahan di bawah Konvensyen tersebut dan menjadikannya lebih mudah untuk dieksport secara haram ke negara lain;
- Pengisytiharan palsu barangan yang dibawa masuk oleh pengimport bagi mengamburi pihak penguatkuasa;
- Kewujudan rangkaian jenayah kegiatan penyeludupan e-waste haram didalangi oleh sindiket yang beroperasi di peringkat antarabangsa; dan
- Kos pengurusan sisa yang tinggi di negara asal juga menjadi punca utama sisa-sisa tersebut dieksport untuk diproses dan dilupuskan di negara lain.
- Kementerian mengambil langkah tegas dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan e-waste secara haram ke Negara ini dengan:
- Memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan dan meningkatkan kerjasama oleh semua agensi yang terlibat di pelabuhan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa pelabuhan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS);
- Mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat pengimport e-waste dan mengarahkan syarikat pengimport untuk menghantar pulang ke negara asal selaras dengan prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya serta mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual sama ada untuk import, eksport, transit atau transhipment mendapat kebenaran bertulis daripada JAS terlebih dahulu;
- Meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain dari segi penyaluran maklumat mengenai kapal yang membawa kontena-kontena yang disyaki mengandungi e-waste yang akan masuk melalui pelabuhan Negara; dan
- Meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti agensi penguatkuasaan, agensi Persekutuan dan Pihak Berkuasa Negeri terutamanya yang melibatkan penguatkuasaan terhadap operasi kilang haram melalui pelaksanaan Ops Hazard secara bersepadu di seluruh negara pada bulan Februari 2025 dan Jun 2025. Sebanyak 122 premis telah diserbu sepanjang operasi tersebut dan kes-kes ini disiasat di bawah pelbagai kesalahan melibatkan Akta Senjata Api 1960, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, AMLA, Akta Imigresen 1959/63, Akta Sekendhend Barang Lusuh 1946, Undang-Undang Kecil Iklan 2019, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred & Perindustrian 2019, Undang-Undang Kecil 2007, Akta Bahan Letupan 1957 dan lain-lain.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|