Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 09 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 68 | Soalan | Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah usaha-usaha yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia dalam mengeluarkan Mineral Kritikal seperti Unsur Nadir Bumi (REE), termasuk dari aspek pemprosesan dan pengeksportan bahan tersebut.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengenal pasti unsur nadir bumi (REE) sebagai salah satu mineral strategik negara, khususnya dalam penghasilan teknologi bersih seperti kenderaan elektrik, turbin angin, bateri berkapasiti tinggi, dan peralatan elektronik. Sehubungan itu, Kerajaan menetapkan hala tuju untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri mineral ini bermula daripada aktiviti perlombongan, pemprosesan, penghasilan produk bernilai tambah, hinggalah kepada kitar atau guna semula.
- Dalam aspek pengeluaran dan kawal selia, Kerajaan telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE yang telah diluluskan di peringkat Jemaah Menteri dan Majlis Mineral Negara. SOP ini telah diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada Disember 2023. Ia merangkumi aspek kawal selia aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan, dan pasca-perlombongan, termasuk keperluan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta kawalan pemulihan kawasan lombong. Pelaksanaan projek perintis perlombongan REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak telah membuktikan bahawa SOP ini mampu mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti perlombongan sekiranya dipatuhi dengan baik.
- Dari segi pemprosesan REE, Malaysia pada ketika ini masih berdepan cabaran kerana ketiadaan loji pengasingan REE yang boleh memproses sumber tempatan untuk menghasilkan produk yang lebih bernilai tinggi. Namun, Kerajaan telah mengambil pendekatan strategik dengan menguatkuasakan moratorium pengeksportan mentah REE supaya sumber REE negara tidak terus dieksploitasi tanpa nilai tambah. Langkah ini memaksa usaha yang giat dibuat sama ada untuk membawa masuk teknologi pemprosesan dari luar, atau membangunkan sendiri teknologi tempatan.
- Lawatan Presiden China pada April 2025 telah membuka ruang kerjasama teknologi pemisahan dengan syarat melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Walaupun perkara ini masih di peringkat awal, namun ia dilihat sebagai peluang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pengeksportan mentah serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pemprosesan REE serantau. Dalam masa yang sama, kewujudan loji pemprosesan Lynas di Kuantan akan dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan industri pertengahan dan hiliran REE negara.
- Selain itu, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan National Advanced Materials Technology Roadmap(NAMTR) 2021–2030 dan penubuhan Konsortium Bahan Termaju Negara (NAMC) bagi menyokong perkongsian pengetahuan, pembangunan teknologi dan kepakaran, serta penglibatan pemain industri tempatan dalam rantaian industri REE.
- Secara keseluruhannya, strategi Kerajaan adalah jelas iaitu tidak hanya menjadi pengeksport bahan mentah REE, sebaliknya membangunkan kapasiti pemprosesan, menggalakkan penghasilan produk bernilai tambah dan memperkukuh penguasaan teknologi tempatan, di samping memastikan pematuhan kepada prinsip kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan bersepadu ini diyakini akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara utama dalam industri REE serantau dan global.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|