Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 09 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 54 | Soalan | Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan cadangan Kerajaan dalam memperkukuh tahap kerjasama semasa dan prospek rundingan dua hala bersama Kerajaan baharu Indonesia, bagi menangani punca utama jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran terbuka di tanah gambut.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Kerajaan memandang serius isu jerebu merentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut yang sering berlaku ketika cuaca panas dan kering. Negara telah mengalami kejadian jerebu merentas sempadan pada 19 hingga 22 Julai 2025 yang telah menjejaskan kualiti udara di kebanyakan kawasan. Kejadian jerebu di Malaysia adalah selari dengan peningkatan bilangan titik panas di Wilayah Sumatera, Indonesia dan pemantauan menggunakan analisis trajektori HYSPLIT (Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) turut mengesahkan pergerakan angin membawa asap dari Wilayah tersebut ke Semenanjung Malaysia.
- Kerajaan sentiasa terbuka untuk menjalin hubungan dua hala dengan Kerajaan Indonesia. Malah, kerjasama dua hala ini pernah terjalin pada tahun 2009 hingga 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai di Jakarta, Indonesia pada 3 Jun 2008 iaitu sebelum Indonesia meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) pada tahun 2015. MoU ini melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Riau selama lima (5) tahun berkaitan sokongan teknikal dalam kebakaran dan pengurusan tanah gambut.
- Selanjutnya, Kerajaan Indonesia juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan sejak kejadian jerebu tahun 2015 melalui pelaksanaan Indonesia's Plan of Action (PoA) In Dealing with Transboundary Haze Pollution:
- Penubuhan agensi khas bagi memulihkan tanah-tanah gambut yang telah terbakar (Peat Restoration Agency);
- Pelaksanaan One Map Policy iaitu pembangunan peta digital / geospatial bagi seluruh Indonesia; dan
- Pelaksanaan Arahan Presiden (Presidential Directive) yang berkuatkuasa pada 18 Januari 2016. Ia meliputi arahan untuk tidak mengeluarkan permit baru bagi konsesi di tanah gambut (permit moratorium), pencegahan dan amaran awal jerebu, pengenaan hukuman yang tegas, pemuliharaan ekosistem tanah gambut, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Tempatan (Provinsi).
- Kerajaan juga terus komited untuk menangani isu jerebu merentas sempadan melalui pemerkasaan kerjasama serantau di bawah AATHP. Melalui perjanjian ini, Negara Anggota ASEAN bekerjasama memantau dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan tindakan di peringkat nasional dan serantau bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah gambut.
- Di bawah kerangka AATHP, Negara Anggota di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand mempunyai platform khusus iaitu Mesyuarat Technical Working Group (TWG) dan Ministerial Steering Committee (MSC) untuk membincangkan isu jerebu merentas sempadan melibatkan penyelarasan tindakan segera, perkongsian data titik panas, ramalan cuaca, pelaksanaan latihan dan kaedah pemadaman kebakaran di tanah gambut bagi meningkatkan keberkesanan langkah pencegahan serta kawalan kebakaran.
- Selain itu, Mesyuarat Committee under the Conference of the Parties (COM) dan Conference of the Parties (COP) to the ATTHP yang melibatkan 10 Negara Anggota ASEAN juga merupakan platform utama untuk melaporkan tindakan dan strategi dalam pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu selaras dengan The Second ASEAN Haze-Free Roadmap bagi mencapai matlamat ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.
- Negara Anggota ASEAN juga telah bersetuju dengan penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) yang akan berpusat di Jakarta, Indonesia. Penubuhan pusat ini juga akan memperkukuh koordinasi kejadian jerebu merentas sempadan dan menyokong pelaksanaan penuh AATHP bagi meningkatkan keberhasilan usaha kolektif Negara Anggota ASEAN.
- Kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dan Negara Anggota ASEAN yang lain melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik dalam pengurusan kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan hutan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|