Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

08 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

47

Soalan

Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan Kerajaan berhubung jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Sumatera yang memberi kesan kepada kualiti udara di Negeri Sembilan dan kawasan sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius isu jerebu merentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di Negeri Sembilan dan kawasan sekitar pada pertengahan Julai 2025. Berdasarkan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan antara 19 hingga 22 Julai 2025, tiga (3) stesen pemantauan kualiti udara di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Nilai (3 hari), Port Dickson (2 hari) dan Seremban (1 hari). Kejadian jerebu di Malaysia adalah selari dengan peningkatan bilangan titik panas di Wilayah Sumatera, Indonesia dan analisis trajektori HYSPLIT oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) turut mengesahkan pergerakan angin membawa asap dari wilayah tersebut ke Semenanjung Malaysia. 


  1. NRES komited menangani isu jerebu merentas sempadan melalui pelbagai tindakan yang merangkumi usaha pemantauan, penguatkuasaan, kerjasama serantau dan pendidikan awam. Dari segi pemantauan, kekerapan rondaan harian, pemantauan titik panas (hotspots) berdasarkan data daripada ASEAN Specialised Metrological Centre (ASMC) dan pemantauan kualiti udara telah dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan di kawasan yang berisiko tinggi terbakar. Kerjasama dengan Kerajaan Negeri turut diperkukuh melalui pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan bagi memantau kes pembakaran terbuka dan situasi jerebu dalam Negara. Selain itu, pemakluman status kualiti udara yang telus turut dilaksanakan  melalui paparan data kualiti udara secara masa nyata (real time) kepada orang awam melalui media sosial dan laman sesawang Air Pollutant Index Management System (APIMS).


  1. Dari aspek penguatkuasaan, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan telah diaktifkan mulai 21 Februari 2025 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan akan diaktifkan apabila bacaan status kualiti udara mencapai tahap amaran. Kedua-dua pelan ni menggariskan peranan dan tindakan pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi yang berkaitan  bagi mencegah dan menangani situasi kebakaran terbuka dan jerebu. 


  1. Dari sudut pemerkasaan kerjasama serantau, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang telah ditandatangani oleh kesemua 10 Negara ASEAN di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002. Melalui perjanjian ini, Negara Anggota ASEAN bekerjasama dalam usaha memantau dan menangani pencemaran jerebu merentas sempadan melalui pelbagai inisiatif bersama. 


  1. Semasa kejadian jerebu yang melanda Negara pada penghujung Julai 2025, Tahap Waspada 2 telah diaktifkan kepada semua Negara di selatan rantau ASEAN mulai 19 Julai 2025 selaras dengan Prosedur Tetap Operasi di bawah AATHP. Semua Negara di selatan rantau ASEAN telah mempertingkatkan pemantauan titik panas dan kebakaran yang berlaku serta melaporkan tindakan yang diambil secara harian. 


  1. Kerajaan  terus memperkukuh kerjasama dengan Negara Anggota ASEAN melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik dalam pengurusan kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan hutan. Usaha ini turut meliputi pembangunan kapasiti bagi pencegahan dan pemadaman yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko berlakunya jerebu merentas sempadan.


  1. Pada masa yang sama, pelaksanaan program kesedaran awam  dan pendidikan alam sekitar  terus diperkasa melalui pelaksanaan kempen “Tiada Pembakaran Terbuka" yang dijalankan secara aktif. Kempen ini dilaksanakan melalui media massa dan media sosial serta di sekolah dan komuniti tani bagi memberikan kesedaran mengenai impak pembakaran terbuka dan kejadian jerebu serta kaedah alternatif pelupusan sisa pertanian.


  1. NRES akan terus memastikan usaha berterusan dilaksanakan bagi menangani isu pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan kejadian jerebu ke arah usaha meningkatkan kualiti udara Negara demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.


Sekian, terima kasih.


Attachments