Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 08 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 56 | Soalan | Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana usaha Kerajaan dalam melaksanakan libat urus yang menyeluruh dengan Kerajaan-kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan perdagangan karbon hutan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang di peringkat akhir Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi membangunkan satu dasar inklusif berkenaan perdagangan karbon bertujuan menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon secara pematuhan (compliance) dan sukarela (voluntary), selaras dengan komitmen Nationally Determined Contribution (NDC) untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% menjelang 2030.
- Dalam masa yang sama, NRES sedang berada di peringkat akhir untuk penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang memberi mandat secara perundangan kepada kerajaan untuk mengawal selia pelaksanaan perdagangan karbon di peringkat antarabangsa di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris yang melibatkan perdagangan atau pemindahan kredit karbon yang digelar Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMOs) ke luar negara.
- Oleh yang demikian, pelaksanaan perdagangan karbon di bawah RUUPIN ini akan secara langsung menyumbang kepada sasaran NDC negara melalui tadbir urus yang efektif dalam memastikan obligasi negara di bawah Perjanjian Paris dapat dicapai.
- Bagi mendapatkan sokongan dan komitmen semua pemegang taruh agar elemen perdagangan karbon di bawah RUUPIN ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh, NRES telah mengadakan sekurang-kurangnya 13 sesi libat urus sepanjang Julai 2024 hingga Julai 2025 bersama Kerajaan Negeri. Dalam masa yang sama, bagi mendapatkan maklum balas awam berhubung penggubalan RUUPIN, kertas konsultasi awam RUUPIN juga telah dimuat naik di laman sesawang NRES untuk tempoh 1 bulan setengah diantara bulan Oktober hingga Disember 2024 bagi memudahkan orang awam merujuk dan memberi input terhadap cadangan awal RUUPIN tersebut.
- NRES juga turut mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan pasaran karbon dan RUUPIN bagi memastikan proses penggubalan RUUPIN ini inklusif dan menyeluruh.
- Kementerian ini turut mengambil maklum mengenai pengurusan hutan adalah di bawah bidang kuasa negeri. Oleh yang demikian, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri akan diperkasakan kepada Majlis Perubahan Iklim Negara (MPIN) di bawah RUUPIN. Sehubungan dengan itu, MPIN akan menjadi platform tertinggi bagi mendapatkan pandangan dan input bagi perkara berhubung perubahan iklim termasuk perdagangan karbon hutan. Sebelum ini isu berkaitan hutan pernah dibincangkan semasa pembentangan cadangan RUUPIN ketika Mesyuarat ke-6 MTPIN Bil. 1/2025 pada 21 April 2025. Selain itu, Mesyuarat ke-6 MTPIN turut membincangkan mengenai Cadangan Pelaksanaan Aturan Kebangsaan Bagi Pelaksanaan Mekanisme Pasaran Karbon di Bawah Artikel 6, Perjanjian Paris.
- Selain itu, melalui agensi khusus yang dikenali sebagai Malaysia Forest Fund (MFF), Kementerian pada masa ini sedang memuktamadkan satu Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan yang dikenali sebagai Forest Carbon Offset (FCO) yang dijangka akan mula dioperasikan sepenuhnya pada awal 2026. FCO adalah satu piawaian bagi pembangunan projek karbon sektor perhutanan yang dibangunkan setara dengan mana-mana piawaian karbon antarabangsa sedia ada seperti Verra, Gold Standard dan sebagainya. FCO bakal menjadi pemacu pembangunan lebih banyak projek karbon hutan di negara ini memandangkan ianya lebih murah serta praktikal berbanding dengan pemakaian piawaian antarabangsa yang sedia ada dan mengambil kira spesifikasi khusus tadbir urus dan keperluan perhutanan di Malaysia.
- Dalam hal ini, Kementerian ini telah turut mengadakan beberapa siri sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan FCO ini adalah sejajar dengan hasrat negara di samping mengambil kira hak dan kepentingan pihak negeri dalam menguruskan sumber asli seperti hutan.
- Usaha-usaha yang digariskan ini merupakan inisiatif berterusan dan mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan sokongan serta penyelarasan bagi aktiviti penjanaan kredit karbon serta kerangka pasaran karbon adalah selaras di peringkat persekutuan dan negeri.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|