Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

41

Soalan

Senator Datuk Bobbey Bin Suan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana komitmen Kementerian dalam memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam menjayakan mekanisme Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES) dan Inisiatif Karbon Hutan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian mempunyai jalinan kerjasama yang baik dengan  Kerajaan Negeri Sabah dalam hal-hal berkaitan inisiatif karbon. Kementerian juga menyambut baik usaha konservasi dan pengurusan hutan sebagai aset yang boleh menjana pendapatan baharu melalui instrumen kredit karbon dan Bayaran Perkhidmatan Ekosistem.


  1. Kementerian juga mengambil maklum usaha Kerajaan Negeri menggubal dan meluluskan perundangan Enakmen Perhutanan (Pindaan) 2025 bagi menyelaras dan menyelia aktiviti pembangunan projek karbon hutan dan penjanaan kredit karbon. Usaha ini akan memastikan struktur dan kerangka yang lebih jelas bagi aktiviti projek karbon hutan dan elemen yang berkaitan seperti libat urus bersama komuniti setempat, keperluan teknikal seperti pemantauan, pelaporan dan verifikasi serta urus tadbir transaksi kredit karbon.


  1. Kementerian telah menerbitkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Sektor Hutan sebagai sebuah dokumen rujukan kepada negeri-negeri yang berminat untuk terlibat di dalam aktiviti berkaitan karbon hutan selain mengenalpasti peranan dan fungsi pihak-pihak yang terlibat di dalam pelaksanaan projek karbon hutan di Malaysia.


  1. Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang sedang dimuktamadkan dan disasarkan untuk diterbitkan pada tahun ini, yang bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisma pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia. DPKK juga dihasratkan untuk memudahcara pelaksanaan projek karbon bagi pelabur, pembangun projek, pembeli kredit karbon dan tanggungjawab pelbagai pihak di dalam ekosistem perdagangan karbon. Pembangunan panduan dan dasar ini sudah pastinya melibatkan penyertaan dan penglibatan setiap pihak Kerajaan Negeri, memandangkan hal berkaitan tanah dan perhutanan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


  1. Kementerian juga sedang memuktamadkan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang. RUUPIN dihasratkan untuk memperkukuhkan tadbir urus isu mitigasi, adaptasi serta usaha di dalam menangani perubahan iklim negara. Selain daripada itu, RUUPIN juga akan menyelaras isu berkaitan pelaporan wajib dan aktiviti perdagangan karbon di bawah Pasaran Karbon Pematuhan ataupun Compliance Carbon Market (seperti Skim Perdagangan Karbon Domestik - DETS, pelaksanaan Cukai Karbon, transaksi di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris dan sebagainya).


  1. Melalui agensi khusus yang dikenali sebagai Malaysia Forest Fund (MFF), Kementerian pada masa ini sedang memuktamadkan satu Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan yang dikenali sebagai Forest Carbon Offset (FCO) yang dijangka akan mula dioperasikan sepenuhnya pada awal 2026. FCO adalah satu piawaian bagi pembangunan projek karbon sektor perhutanan yang dibangunkan setara dengan mana-mana piawaian karbon antarabangsa sedia ada seperti Verra, Gold Standard dan sebagainya. FCO bakal menjadi memacu pembangunan lebih banyak projek karbon hutan di negara ini memandangkan ianya lebih murah serta praktikal berbanding dengan pemakaian piawaian antarabangsa yang sedia ada; dan mengambilkira spesifikasi khusus tadbir urus dan keperluan perhutanan di Malaysia. 


  1. Buat masa ini, 4 metodologi bagi aktiviti projek karbon hutan telah dibangunkan dan akan digunakan bagi menjalankan 4 projek rintis di beberapa negeri. FCO bukan sahaja boleh menjana kredit karbon bagi pasaran karbon sukarela yang boleh di dagangkan di platform seperti Bursa Carbon Exchange, malah berpotensi untuk menjana kredit karbon bagi maksud offset di bawah pasaran karbon pematuhan dan disasarkan untuk diiktiraf bagi transaksi di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris serta CORSIA (Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation).


  1. Segala usaha-usaha ini adalah inisiatif berterusan dan komitmen Kementerian ini di dalam memastikan sokongan serta penyelarasan bagi aktiviti penjanaan kredit karbon serta kerangka pasaran karbon di negeri. Di bawah RMKe-13, Kerajaan juga akan meneroka potensi penyediaan insentif bagi projek kredit karbon, untuk memastikan keperluan kewangan bagi membangunkan projek karbon yang memerlukan kos yang signifikan, turut diberi perhatian.


Sekian, terima kasih.


Attachments