Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Biodiversiti, Perubahan Iklim

Nombor Soalan

29

Soalan

Senator Tuan Amir Bin Md Ghazali minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan peruntukan dan program utama dalam RMk-13 yang menyokong agenda perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, Rancangan Malaysia Ketiga Belas bertujuan untuk melakar semula pembangunan dengan menetapkan dasar, strategi dan inisiatif bagi membentuk negara bangsa, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, memperkukuh tatakelola terbaik serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang memacu ekonomi serantau dan disegani di persada dunia.


  1. Dalam mencapai usaha ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited dalam menerajui agenda kelestarian alam sekitar yang merangkumi aspek pengurusan alam sekitar, tindakan adaptasi dan mitigasi perubahan iklim, usaha  pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi serta memperkasa kecekapan tadbir urus sumber semulajadi bagi menjamin kemampanan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.


  1. Antara program utama yang menyokong agenda kelestarian alam adalah melalui pelaksanaan inisiatif Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3). Program ini telah bermula sejak tahun 2020 bagi mengukuhkan penguatkuasaan dalam membanteras pemburuan hidupan liar, pencerobohan kawasan hutan, pembalakan dan perlombongan haram. BP3 melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan Renjer Komuniti. 


  1. Pada tahun 2025, seramai 2,500 orang Renjer Komuniti dilantik dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, komuniti setempat dan komuniti Orang Asli/Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan kesejahteraan dan tahap sosioekonomi masyarakat. Pelaksanaan BP3 sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2025 telah mencatatkan impak yang besar dalam aspek penguatkuasaan dengan sebanyak 709 tangkapan warganegara Malaysia dan 152 warganegara asing. Selain itu, sebanyak 2,716 jerat hidupan liar telah dimusnahkan dan nilai sitaan mencecah RM404 juta.


  1. NRES juga menerajui pelaksanaan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT). Bagi tempoh 2019 hingga 2025, sebanyak RM800 juta peruntukan EFT telah disediakan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek pemuliharaan biodiversiti dan hutan.


  1. Dalam merangka usaha mitigasi dan adaptasi isu perubahan iklim secara holistik, Kementerian ini sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini digubal adalah untuk memastikan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. 


  1. RUU ini dijangka akan membolehkan negara mengoperasikan tindakan iklim yang digariskan di dalam Perjanjian Paris untuk dilaksanakan di peringkat domestik dan ianya akan memacu pelaksanaan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long Term Low Emission Development Strategy - LT-LEDS), Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN2.0) dan lain-lain dasar berkaitan perubahan iklim yang akan saling melengkapi untuk mencapai sasaran National Determined Contribution (NDC) negara dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih negara pada tahun 2050.


  1. Selain itu, kerajaan juga sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi membolehkan pelaksanaan pasaran karbon di Malaysia beroperasi sepenuhnya. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. 


  1. Ancaman impak disebabkan oleh perubahan iklim seperti banjir akan memberikan impak terhadap pelbagai sektor ekonomi serta mengancam kesejahteraan penduduk. Menyedari hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). 


  1. Pelan tindakan ini yang dihasilkan melalui bantuan dana antarabangsa akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. MyNAP ini adalah bersifat menyeluruh dan akan memerlukan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat pusat dan kerajaan negeri.


  1. Seterusnya NRES juga menyasarkan projek yang merangkumi pelaksanaan instrumen Protokol Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO). Projek-projek ini akan bertindak sebagai pemangkin kepada penyertaan dan pelaburan sektor swasta serta mengurangkan kebergantungan kepada dana awam. Faedah utama adalah termasuk pengurangan impak perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan sokongan kepada pelaporan ESG oleh syarikat. Pendekatan ini juga dijangka memperkukuh dengan kerjasama awam-swasta dan seterusnya mempercepatkan pembangunan pasaran karbon negara. 


Sekian, terima kasih.


Attachments