Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

24

Soalan

Senator Datuk Rosni binti Sohar minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan sedang merangka satu dasar nasional yang komprehensif bagi industri Unsur Bumi Nadir (Rare Earth Elements) merangkumi aspek kawalan eksport, pemprosesan hiliran dalam negara, serta penglibatan inklusif tenaga kerja mahir tempatan bagi memastikan Malaysia tidak terus bergantung sebagai pengeluar bahan mentah semata-mata tanpa penguasaan teknologi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN 3) yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024 menekankan pembangunan menyeluruh rantaian nilai industri mineral termasuk REE merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran, di samping mengintegrasikan prinsip kelestarian, tadbir urus yang kukuh serta pembangunan modal insan. Pada masa ini, Kementerian sedang dalam peringkat memuktamadkan pelan tindakan berkaitan dan masih memerlukan libat urus lanjut bersama pihak-pihak yang akan terlibat sebagai peneraju dan sokongan kepada program yang digariskan. 


  1. Sejajar dengan kerangka dasar tersebut, Kerajaan telah menetapkan moratorium ke atas pengeksportan REE mentah bagi memastikan sumber negara tidak terus dieksploitasi tanpa nilai tambah. Pada masa sama, rundingan sedang dijalankan dengan pelabur dan rakan teknologi dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan loji pemprosesan dalam negara, termasuk penulenan, pemisahan elemen, serta penghasilan produk bernilai tinggi seperti logam, aloi dan super magnet.


  1. Selain itu, Kerajaan turut menubuhkan Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri REE yang dipengerusikan oleh YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan dianggotai oleh YB Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Menteri Ekonomi, YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Menteri Kewangan II, bagi memastikan koordinasi strategik dari aspek pelaburan, teknologi, insentif serta penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam industri REE negara.


  1. Dari aspek pembangunan dan pemindahan teknologi, Kerajaan sedang melihat potensi untuk memulakan kerjasama dengan pihak luar yang mempunyai kapasiti teknologi khususnya teknologi pemprosesan REE. Dalam hal ini, Kerajaan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilibatkan demi menjaga kepentingan strategik negara. Pada masa yang sama, usaha penyelidikan dan pembangunan tempatan turut digalakkan untuk memastikan negara mampu menguasai teknologi berkaitan REE, dan kapakaran tempatan dibangunkan bagi menjamin kelestarian industri REE negara.


  1. Bagi menjamin penglibatan tenaga kerja mahir tempatan, Kerajaan turut menekankan pembangunan kapasiti melalui pemindahan teknologi, latihan khusus serta kerjasama antara industri dan universiti. Usaha ini akan memastikan rakyat Malaysia bukan sekadar penyumbang tenaga kerja di peringkat perlombongan, tetapi juga penggerak utama dalam sektor pemprosesan, inovasi dan pengeluaran produk hiliran bernilai tinggi.


  1. Kerajaan mensasarkan Malaysia tidak hanya kekal sebagai pengeluar bahan mineral mentah termasuk REE semata-mata, tetapi mampu membangunkan industri yang lengkap, berdaya saing, dan relevan dalam ekonomi teknologi hijau global.

 
Sekian, terima kasih.


Attachments