Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

03 September 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

74

Soalan

Senator Tuan Robert Lau Hui Yew minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan dalam usaha mengurangkan kerosakan yang disebabkan oleh sisa plastik terhadap alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius kesan negatif sisa plastik terhadap alam sekitar. Sebagai langkah jangka masa panjang dalam memperkukuh kelestarian ekosistem plastik di Malaysia, Kerajaan telah melancarkan strategi dan pelan tindakan di bawah Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR). Salah satu inisiatif melalui MPSR adalah untuk menetapkan piawaian reka bentuk eko atau eco-design secara mandatori bagi industri plastik.


  1. Bagi tujuan ini, NRES bersama SIRIM sedang membangunkan dasar Reka Bentuk Eko Produk (product eco-design) bagi industri plastik. Pembangunan Reka Bentuk Eko Produk diharap dapat menyokong industri plastik ke arah peralihan ekonomi kitaran. Antara objektif product eco-design adalah untuk memastikan semua produk plastik yang dihasilkan menepati ciri-ciri produk yang boleh dikitar semula.


  1. Selain itu, NRES terus komited melaksanakan inisiatif pelestarian plastik di bawah Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak  memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam. Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 pada 18 November 2020 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negara untuk mengenakan caj pencemaran kepada permintaan beg plastik sekali guna. Pengenaan caj ini berpandukan kepada prinsip user-pay-principle sebagai satu bentuk pencegahan dan usaha menghindari penggunaan beg plastik sekali guna yang kerap dibuang secara tidak terkawal. 


  1. Seperti mana diputuskan oleh MNKT, pelaksanaan kempen ini adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan kaedah pelaksanaan adalah mengikut kesesuaian Negeri masing-masing. Namun begitu, peringkat pelaksanaan kempen masih berada dalam pelbagai fasa.

 

  1. Terkini, pelaksanaan strategi menghindari plastik sekali guna telah diperkasakan dengan perintah larangan penggunaan plastik sekali guna di premis tetap oleh Kerajaan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah. Selain itu, Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab mengenai Alam Sekitar (Mesyuarat MEXCOE) Bilangan 1 Tahun 2025 pada 17 April 2025 juga telah bersetuju untuk melaksanakan perintah larangan beg plastik jinjit sekali guna diperluaskan di seluruh Negara menjelang 1 Januari 2026 tertakluk kepada penerimaan dan kaedah pelaksanaan untuk disesuaikan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.


  1. Pelestarian plastik memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penglibatan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), industri, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat. NRES akan menjalinkan hubungan dan libat urus dengan semua pihak dalam melaksanakan inisiatif pelestarian plastik ini.


  1. Di peringkat antarabangsa, NRES mengetuai perundingan Intergovernmental Negotiating Committee to Develop an International Legally Binding Instrument on Plastic Pollution, including in the Marine Environment (INC) bagi mewujudkan Perjanjian Plastik Global di bawah United Nations Environment Programme (UNEP). Proses rundingan INC secara dasarnya diadakan untuk membincangkan kawalan terhadap pencemaran plastik selari dengan Resolusi United Nations Environment Assembly (UNEA) 5/14 dalam menghentikan pencemaran plastik (to end plastic pollution) termasuk di persekitaran marin. NRES telah mengetuai sesi INC-1 hingga INC-5.2 dan akan terus komited dan menyokong perundingan ini bagi menjaga kepentingan Malaysia yang merangkumi aspek alam sekitar dan juga ekonomi.


Sekian, terima kasih.


Attachments