Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 03 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 69 | Soalan | Senator Puan Tiew Way Keng minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan pemuliharaan untuk ekosistem penting seperti hutan simpan di Malaysia khususnya di Selangor.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok-pokok. Sehingga kini, kawasan litupan hutan Malaysia adalah berjumlah 17.96 juta hektar atau bersamaan dengan 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara.
- Bagi menyokong hasrat tersebut, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan negeri tersebut sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagaimana yang disasarkan dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.
- Sehingga kini, keluasan HSK di Negeri Selangor adalah 31.5 peratus atau 250 ribu hektar dari keluasan tanah negeri. Daripada jumlah tersebut, seluas 72 ribu hektar dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, manakala baki seluas 178 ribu hektar dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan yang merangkumi Hutan Perlindungan Tanah, Hutan Tadahan Air, Hutan Perlindungan Hidupan Liar, Hutan Simpanan Hutan Dara, Hutan Lipur, Hutan Pelajaran, Hutan Penyelidikan, Hutan bagi Maksud Persekutuan dan Hutan Taman Negeri.
- Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian melalui JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam memelihara dan memulihara HSK di negeri Selangor antaranya termasuklah:
- Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan dasar moratorium pembalakan komersial dalam HSK sejak tahun 2010. Hal ini bermakna tiada kelulusan pengusahasilan kayu balak baharu dikeluarkan, menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara dan melindungi kawasan HSK sedia ada;
- menyediakan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM47 juta sejak tahun 2019 bagi melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada, menambah kawasan perlindungan yang baharu dan melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi untuk tujuan konservasi;
- melaksanakan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) di landskap dan hutan paya gambut berkeluasan 157,524 hektar di Selangor. Projek ini bertujuan memperkukuh polisi kebangsaan dan kapasiti institusi dalam melaksanakan pelan dan strategi berkaitan pengurusan tanah gambut;
- melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram sepertimana dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada tahun 2021; dan
- menjalankan pemantauan menggunakan imej satelit terkini secara berterusan bagi keseluruhan 595 HSK di Semenanjung Malaysia secara melalui Pusat Pemantauan Sumber Hutan di JPSM. Maklumat-maklumat perisikan akan disalurkan kepada Pengarah Perhutanan Negeri untuk pengesahan dan semakan di lapangan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|