Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 03 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 45 | Soalan | Senator Tan Sri Dato' Low Kian Chuan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : - dasar sedia ada untuk menangani isu greenwashing; dan
- mengapa amalan greenwashing masih berleluasa walaupun terdapat kerangka sedia ada serta apakah langkah konkrit dan boleh dikuatkuasakan, termasuk cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi membendungnya.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Untuk makluman Dewan yang mulia ini, ada beberapa dasar, rangka kerja dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi menangani isu greenwashing. Antara dasar dan garis panduan sedia ada termasuklah:
- MyHijau Mark, iaitu pengiktirafan rasmi Kerajaan Malaysia terhadap produk dan perkhidmatan hijau berdasarkan pensijilan organisasi tempatan dan luar negara yang menepati syarat-syarat untuk diiktiraf dan disenaraikan dalam Direktori MyHIJAU. Semua produk atau perkhidmatan yang tersenarai dalam direktori tersebut diperakui telah melepasi verifikasi oleh MGTC (agensi di bawah NRES) yang meliputi pengesahan pensijilan hijau yang diperolehi bagi produk tersebut termasuk laporan uji kaji. Hanya produk yang mendapat pensijilan sah sama ada dari badan pensijilan tempatan atau luar negara yang dikenalpasti setara akan diiktiraf;
- Garis panduan pengiklanan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memastikan ketelusan dalam maklumat produk; dan
- Mekanisme kawal selia lain seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan tindakan terhadap maklumat mengelirukan termasuk dakwaan produk hijau yang palsu.
- Walaupun terdapat dasar sedia ada, isu greenwashing masih berlaku kerana:
- Tahap kesedaran awam yang berbeza – pengguna sama ada sukar membezakan antara pensijilan hijau yang sah atau palsu, atau memang tidak tahu mengenai kewujudan akreditasi bagi produk hijau, malah masih ramai yang kurang kesedaran dan langsung tidak peduli sama ada suatu produk itu hijau atau tidak;
- Piawaian antarabangsa yang sentiasa berkembang, menyebabkan keperluan untuk menyelaras semula piawaian domestik dengan perkembangan global sentiasa berubah. Bidang ini adalah masih muda dan mengambil masa untuk satu piawaian global yang diterima semua pihak; dan
- Jurang penguatkuasaan dan pemantauan – tidak semua tuntutan produk atau perkhidmatan hijau dapat disemak secara menyeluruh, dan kesedaran pengguna yang masih rendah atau tidak cakna menyebabkan kebiasaannya tiada laporan dibuat untuk tindakan siasatan dan penguatkuasaan dimulakan.
- Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus anti green washing memandangkan remedi perundangan bagi isu ini sudah pun tersedia mengikut akta dan instrumen kawal selia spesifik sektor industri atau produk. Umumnya, sistem perundangan Malaysia telah matang dan mempunyai perlindungan terhadap pengiklanan atau pernyataan palsu. Akta-akta yang terkandung unsur perlindungan berhubung anti green washing adalah seperti berikut:
- Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 - Walaupun tertumpu kepada kawalan pencemaran, syarikat yang membuat dakwaan palsu tentang pematuhan alam sekitar (contohnya mendakwa telah diiktiraf pensijilan ISO14001 tetapi tidak benar) boleh dikenakan tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar kerana pengisytiharan palsu;
- Suruhanjaya Tenaga & SEDA Malaysia boleh bertindak jika terdapat dakwaan palsu berkaitan tenaga boleh baharu, contohnya salah guna label “tenaga hijau" dalam perjanjian jual beli tenaga;
- Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan di Bahagian II, sebarang pernyataan palsu, mengelirukan atau memperdayakan boleh diambil tindakan penguatkuasaan oleh KPDN termasuk denda dan penjara. Contohnya dakwaan palsu suatu produk sebagai mesra alam, neutral karbon, atau boleh lupus biodegradasi;
- Akta Perihal Dagangan 2011 seterusnya melengkapi kuasa penguatkuasaan KPDN secara lebih menyeluruh dengan melarang penggunaan perihal dagangan palsu dalam pelabelan, pembungkusan, dan pengiklanan. Sebagai contoh, mana-mana label atau iklan yang menggunakan istilah '100% hijau' atau 'sifar karbon' tanpa pengesahan boleh disabitkan, malah Menteri boleh mengeluarkan perintah khusus melarang penggunaan istilah 'hijau' yang mengelirukan;
- Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan seksyen 211 & 233 yang melarang kandungan yang palsu, mengelirukan atau menyinggung. Dewasa ini akta tersebut sangat relevan digunakan dalam memantau iklan atas talian dan pemasaran digital bagi memerangi kegiatan greenwashing di media sosial, e-dagang, dan laman web korporat;
- Akta Persaingan 2010 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia memantau sektor ekonomi tertentu di Malaysia agar dapat mencegah sebarang aktiviti yang mengganggu persaingan pasaran yang sihat (contohnya mengenakan penalti kewangan ke atas syarikat yang mendapat kelebihan tidak adil dengan mendakwa produk mereka lestari atau hijau);
- Akta Makanan 1983 dan Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 memberi kuasa penguatkuasaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia menangani dakwaan palsu seperti 'organik', 'sihat' atau 'semula jadi' dalam produk makanan, minuman, dan suplemen; dan
- Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Garis Panduan Dana Pelaburan Bertanggungjawab dan Lestari (Guidelines on Sustainable and Responsible Investment - SRI Funds) serta Rangka Kerja Pelaburan Bertanggungjawab dan Lestari Sukuk/Bon, sebarang pelaporan ESG, prospektus atau pelaburan neutral karbon yang palsu boleh dianggap sebagai pendedahan mengelirukan di bawah undang-undang sekuriti oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan akan dikenakan penalti yang berat, termasuk denda sehingga RM3 juta, penjara sehingga 10 tahun, arahan bayaran ganti rugi kepada pelabur atau pihak yang terkesan dan penggantungan lesen/kelayakan mereka yang disabitkan kesalahan.
- Di samping itu, Kementerian ini juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini digubal adalah untuk memastikan tindakan-tindakan perundangan yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
- Dengan peruntukan sedia ada, Kerajaan yakin bahawa usaha memerangi greenwashing dapat diperhebat, meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap pasaran hijau, serta menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan rendah karbon yang mampan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|