Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 03 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 9 | Soalan | Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pematuhan terhadap Standard Operasi Prosedur (SOP) dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) dan keperluan kajian semula dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap biodiversiti dan habitat semula jadi, serta aktiviti perlombongan REE di peringkat huluan (upstream) melalui proses larut lesap setempat telah dibuktikan tidak mencemarkan air bawah tanah.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Pematuhan terhadap Standard Operasi Prosedur (SOP) dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menetapkan bahawa semua aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur REE Di Malaysia yang telah dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri dan Majlis Mineral Negara. SOP ini mengawal selia aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan termasuk keperluan untuk mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), pelaksanaan pemulihan progresif kawasan lombong, kawalan pencemaran dan pemantauan berterusan. Setakat ini, negeri Perak merupakan satu-satunya negeri yang telah memulakan projek perlombongan REE di Mukim Kenering, Hulu Perak. Hasil pengauditan yang dijalankan mendapati pengerak projek telah mematuhi dengan sebaiknya kehendak di dalam SOP dan keperluan agensi-agensi teknikal yang terlibat.
Secara umumnya, pihak kerajaan negeri menerima pakai prosedur yang ditetapkan dalam SOP berkenaan dan mula menyediakan dokumen SOP berdasarkan perundangan di negeri masing-masing. Namun demikian, tahap pelaksanaan dan pematuhan masih belum boleh dinilai memandangkan tiada projek perlombongan REE lain yang telah dimulakan selain di negeri Perak. Pada masa ini, terdapat permohonan untuk menjalankan aktiviti perlombongan di Negeri Sembilan dan Johor yang sedang pada peringkat kelulusan laporan EIA oleh Jabatan Alam Sekitar. Permohonan bagi negeri-negeri lain masih pada peringkat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri masing-masing.
Kajian semula kesan jangka panjang terhadap biodiversiti dan habitat semula jadi serta kaedah ISL Bagi memastikan kesan jangka panjang terhadap biodiversiti dan habitat semula jadi diteliti dengan menyeluruh, NRES melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang menjalankan kajian impak perlombongan REE dalam ekosistem hutan. Kajian ini dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2024 hingga 2029 meliputi aspek hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosio-ekonomi. Ia turut melibatkan agensi teknikal termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, FRIM telah melaksanakan kajian awal di tapak perlombongan di Mukim Kenering yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap setempat atau in-situ leaching (ISL) pada tahun 2024. Tapak perlombongan tersebut melibatkan kawasan pengekstrakan dalam ladang getah. Dapatan awal menunjukkan bahawa tiada pencemaran kepada air bawah tanah sekiranya kaedah ini dijalankan mengikut SOP dan kawalan ketat. Pengumpulan data ulangan bagi tahun 2025 sedang berjalan dan dijangka siap pada September 2025 untuk pelaporan pada Oktober 2025. Walau bagaimanapun, FRIM masih perlu menilai kesan di kawasan hutan asli sebelum merumuskan dapatan menyeluruh mengenai impak jangka panjang perlombongan REE.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|