Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 02 September 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Biodiversiti, Perhutanan | Nombor Soalan | 49 | Soalan | Senator Dato' Ahmad bin Dato' Sri Hj. Ibrahim minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah perancangan Kementerian dalam menjaga dan memulihara kelestarian biodiversiti di Sarawak termasuk kawasan hutan simpan dan sungai serta imbangan terhadap pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar supaya selari dengan arus pemodenan. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Sarawak merupakan salah satu wilayah di Malaysia yang kaya dengan biodiversiti meliputi hutan hujan, hutan bakau, sungai, paya gambut dan kawasan pesisir. Litupan hutan di Sarawak dianggarkan sekitar 62 peratus atau 7.64 juta hektar daripada keseluruhan keluasan negeri. Kekayaan sumber semula jadi ini bukan sahaja penting bagi kestabilan ekosistem dan iklim, malah menjadi asas kepada ekonomi Sarawak melalui sumber kayu, ekopelancongan, perkhidmatan ekosistem dan bioekonomi.
Dalam hubungan ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam melindungi, memelihara dan memulihara serta memastikan kelestarian biodiversiti di wilayah tersebut. Antara langkah yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
menyediakan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah RM81.2 juta sejak tahun 2019 bagi melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada, menambah kawasan perlindungan yang baharu dan melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi untuk tujuan konservasi; melancarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 pada 24 Oktober 2023 sebagai dokumen utama bagi hala tuju dan rangka kerja pengurusan biodiversiti di peringkat kebangsaan. DKBK 2022-2030 telah disemak semula agar selari dengan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF) selain turut mengambil kira keadaan, keutamaan dan keupayaan negara; dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Sarawak turut melancarkan Sarawak Biodiversity Master Plan pada 22 April 2025 yang menekankan pengarusperdanaan biodiversiti ke dalam agenda pembangunan negeri serta usaha mengekalkan dan melindungi Estet Simpanan Kekal (ESK) melalui penggazetan kawasan seperti Protected Forest, Forest Reserve dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA); NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak sedang melaksanakan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) di landskap tanah gambut berkeluasan 80,360 hektar di Maludam, Sarawak. Projek ini bertujuan memperkukuh polisi kebangsaan dan kapasiti institusi dalam melaksanakan pelan dan strategi berkaitan pengurusan tanah gambut; dan memperluas inisiatif Program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) yang melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Renjer Komuniti ke Wilayah Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) bermula pada tahun 2023.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|