Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 28 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 49 | Soalan | Senator Tuan Manolan bin Mohamad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah Kerajaan mengadaptasikan dan mengambil kira pengetahuan tradisional Orang Asli tentang pengurusan alam sekitar dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan mengiktiraf peranan dan pengetahuan tradisional Orang Asli dalam sektor perhutanan dan ianya telah diangkat menjadi salah satu objektif Dasar Perhutanan Malaysia yang mana menggalakkan penyertaan masyarakat Orang Asli, Orang Asal dan tempatan dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan hutan.
Dalam hubungan ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah melaksanakan melaksanakan pelbagai inisiatif yang mengintegrasikan pengetahuan tradisional Orang Asli dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Antaranya ialah Program Buyback Guarantee yang dilaksanakan sejak tahun 2021 di Tasik Chini, Cameron Highlands dan Janda Baik. Program perhutanan sosial ini melibatkan kepakaran komuniti Orang Asli dalam pencarian dan penyemaian anak benih spesies hutan di tapak semaian komuniti. Anak pokok yang dibangunkan kemudiannya dibeli oleh agensi kerajaan pihak swasta dan orang awam bagi tujuan aktiviti restorasi hutan.
Selain itu, Kerajaan turut mengiktiraf kepentingan pengetahuan tradisional, inovasi dan amalan berkaitan dengan sumber biologi Orang Asli, Orang Asal dan tempatan melalui penginstitusian kerangka akses dan perkongsian faedah (Access and Benefit Sharing - ABS) melalui penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] pada 18 Disember 2020, sejajar dengan obligasi negara di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity - CBD) dan Nagoya Protocol on Access to Genetic Resources and the Fair and Equitable Sharing of Benefits Arising from their Utilization to the Convention on Biological Diversity (Protokol Nagoya).
Kepentingan melindungi pengetahuan tradisional turut digariskan di bawah Tindakan 14.2, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) bagi mendokumentasikan dan melindunginya. Di bawah Akta 795, mana-mana pihak yang ingin mengakses pengetahuan tradisional daripada Orang Asli, Orang Asal dan tempatan perlu memastikan persetujuan telah diperolehi melalui Keizinan Termaklum Awal (Prior Informed Consent – PIC) serta memeterai Terma yang Dipersetujui Bersama (Mutually Agreed Terms – MAT) bagi memastikan perkongsian faedah secara adil dan saksama, sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan kewangan.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|