Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

28 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

45

Soalan

Senator Tuan Roderick Wong Siew Lead minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapakah jumlah kes yang telah disabitkan kesalahan atas pembakaran terbuka haram setakat ini dan apakah solusi dan pendekatan terkini untuk menangani masalah jerebu yang melanda negara terutamanya di Sarawak pada masa ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Pembakaran terbuka haram adalah aktiviti yang mengancam kesihatan awam, keselamatan dan alam sekitar. Berdasarkan data yang direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Ogos 2025, sebanyak 167 kes telah disabitkan sebagai kesalahan pembakaran terbuka haram. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kes disabitkan kesalahan melalui tindakan mahkamah, 74 kes melalui tawaran kompaun dan 63 kes melalui notis arahan. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

 

  1. Kerajaan melalui NRES telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menangani kejadian jerebu yang melanda Negara termasuk di Sarawak. Pendekatan terkini yang dilaksanakan melibatkan usaha pemantauan, penguatkuasaan, kerjasama serantau dan pendidikan awam.


  1. Aspek pemantauan dipergiatkan dengan kekerapan rondaan harian dan pemantauan kualiti udara dilaksanakan secara berterusan di kawasan yang berisiko tinggi terbakar. JAS turut melaksanakan tindakan bersepadu bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Sarawak melalui rondaan fizikal, pemantauan dengan penggunaan dron, pemantauan titik panas (hotspots) berdasarkan data daripada ASEAN Specialised Metrological Centre (ASMC), pengaktifan bilik operasi, pengeluaran notis larangan serta pembatalan permit pembakaran terbuka.


  1. JAS juga sedang dalam perancangan untuk memperluas rangkaian stesen pemantauan automatik di kawasan berisiko tinggi seperti di Bau dan Bekenu, Sarawak. Selain itu, pemakluman status kualiti udara yang telus turut dilaksanakan dengan memaparkan data kualiti udara secara masa nyata (real time) kepada orang awam melalui laman sesawang JAS dan media sosial. 


  1. Bagi aspek penguatkuasaan, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan telah diaktifkan sejak 21 Februari 2025 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan apabila bacaan status kualiti udara mencapai tahap amaran. Kedua-dua pelan ini menggariskan tindakan pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi yang berkaitan dalam mencegah dan menangani situasi kebakaran terbuka dan jerebu.


  1. Selain itu, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap individu atau pihak yang disabitkan melakukan pembakaran terbuka dengan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan. Di samping itu, kompaun sehingga 50% daripada denda maksimum boleh dikenakan bagi setiap kesalahan. Terkini, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 turut dilaksanakan berkuat kuasa mulai 8 Julai 2025 bagi membolehkan agensi yang diwakilkan kuasa untuk membuat siasatan dan mengenakan tindakan bagi kesalahan pembakaran terbuka.


  1. Dari sudut pemerkasaan kerjasama serantau, Malaysia melalui Persidangan Sosek-Malindo Ke-37 pada November 2024 telah memperkukuh koordinasi antara Sarawak dan Kalimantan Barat bagi pencegahan kebakaran serta jerebu merentas sempadan termasuk pelaksanaan latihan bersama. 


  1. Semasa kejadian jerebu yang melanda Negara pada penghujung Julai 2025, Tahap Waspada 2 telah diaktifkan bermula 19 Julai 2025 selaras dengan Prosedur Tetap Operasi di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP). Semua Negara di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand telah mempertingkatkan pemantauan titik panas dan kebakaran yang berlaku serta melaporkan tindakan yang diambil secara harian. 


  1. Pada masa yang sama, pelaksanaan program kesedaran awam serta pendidikan alam sekitar telah ditingkatkan lagi melalui pelaksanaan kempen “Tiada Pembakaran Terbuka” secara agresif. Kempen ini dilaksanakan melalui media massa dan media sosial serta di sekolah dan komuniti tani bagi memberikan kesedaran mengenai impak pembakaran terbuka dan kejadian jerebu serta kaedah alternatif pelupusan sisa pertanian.


  1. NRES akan terus memastikan usaha berterusan dilaksanakan bagi menangani isu pembakaran terbuka haram yang boleh menyebabkan kejadian jerebu ke arah usaha meningkatkan kualiti udara Negara demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.


Sekian, terima kasih.

Attachments