Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 26 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 73 | Soalan | Senator Datuk Rosni binti Sohar minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah pelan tindakan Kementerian dalam membangunkan sistem MRV (Monitoring, Reporting, Verification) Kebangsaan yang menyeluruh untuk menyokong pelaksanaan cukai karbon seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, dan bagaimana Kementerian akan memastikan ketelusan serta integriti data pelepasan karbon yang dilaporkan oleh pihak industri.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pemantauan, Pelaporan dan Pengesahan (Monitoring, Reporting and Verification - MRV) merupakan satu proses yang penting dalam pelaksanaan mekanisme harga karbon sama ada cukai karbon seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri melalui Ucapan Belanjawan 2025 atau Skim Perdagangan Pelepasan Karbon (Emission Trading Scheme - ETS) seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas - GHG) hanya boleh ditentusahkan melalui pengiraan inventori pelepasan GHG yang melibatkan pihak industri untuk melaporkan hasil pemantauan pelepasan GHG yang dihasilkan mengikut piawaian dan metodologi yang khusus. Dalam hal ini, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang kini dalam peringkat akhir penggubalan oleh Kementerian ini memperuntukkan supaya laporan yang dihasilkan pihak industri tersebut tersebut perlu disahkan oleh badan pengesah sebelum ianya diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menentukan sama ada fasiliti tersebut akan dikenakan cukai karbon.
Oleh yang demikian, bagi memastikan ketelusan serta integriti data pelepasan karbon yang dilaporkan oleh pihak industri, proses pengesahan dan verifikasi data akan dilaksanakan oleh juruaudit luar (external auditors). Dalam hal ini, RUUPIN turut memperuntukkan agar juruaudit luar ini mendapatkan akreditasi dengan Pihak Berkuasa yang dinyatakan di dalam RUUPIN.
RUUPIN ini juga memperuntukkan mengenai penubuhan satu platform maklumat yang akan menempatkan segala maklumat dan data yang diperolehi agar ianya dapat diuruskan secara telus dan berintegriti. Sehubungan dengan itu, kerangka perundangan yang komprehensif amat kritikal bagi memastikan pelaksanaan efektif sistem MRV serta platform maklumat ini yang akan menempatkan data pelepasan karbon yang dilaporkan oleh pihak industri ini. Bagi memastikan objektif ini dapat dicapai, penguatkuasaan peruntukan-peruntukan di bawah RUUPIN disamping pembangunan perundangan subsidiari berkaitan data dan MRV akan turut dibangunkan bagi menyokong pelaksanaan RUUPIN kelak.
Dari segi pelaksanaan dan pelan tindakan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah pun memulakan proses pembangunan garis panduan MRV ini dimana libat urus awal bersama Kementerian utama yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dilaksanakan bagi mendapatkan input berkenaan pembangunan garis panduan, data, pelaporan dan pelaksanaan sistem MRV ini kelak.
Selain itu, sesi libat urus dengan pihak industri akan turut dilaksanakan bagi mendapatkan input dan sebagai proses menyediakan pihak industri yang akan terlibat dengan pelaksanaan sistem MRV ini. Dalam hal ini, libat urus secara berterusan akan terus dilaksanakan bersama pihak industri, khususnya daripada sektor besi dan keluli serta sektor tenaga sepanjang proses pembangunan serta pelaksanaan sistem MRV ini.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|