Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

26 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

52

Soalan

Senator Datuk Haji Mustafa bin Musa minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapakah jumlah syarikat dan kemudahan menyimpan dan memproses bahan sisa buangan terjadual industri atau komersial di seluruh negara dan sejauh manakah kapasiti dan keupayaan penguatkuasaan membasmi pembuangan haram sisa terjadual sehingga Julai 2025.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Sehingga Disember 2024, Negara telah menghasilkan sebanyak 5,378,977.55 tan metrik buangan terjadual di seluruh Negara. Buangan ini merangkumi buangan dros, sanga, klinker, gypsum, enap cemar logam berat, e-waste, sisa klinikal dan lain-lain buangan terjadual yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Kesemua buangan ini diuruskan dan dipantau dengan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).


  1. Bagi memastikan pengurusan buangan terjadual daripada sektor industri dan komersial diolah, diperoleh kembali dan dilupuskan secara teratur mengikut peruntukan undang-undang, sebanyak 381 premis di seluruh Negara telah dilesenkan sebagai kemudahan pengolahan, pemerolehan kembali dan tapak pelupusan selamat dengan jumlah lesen kemudahan yang dikeluarkan adalah 463 di seluruh Negara.


  1. Dari aspek penguatkuasaan, JAS melaksanakan pemantauan berterusan melalui pemeriksaan berkala di premis, operasi penguatkuasaan secara bersepadu serta pemantauan menggunakan teknologi seperti Sistem eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System). JAS turut menjalankan operasi bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti pembuangan haram buangan terjadual.


  1. Dalam mendepani pelbagai isu alam sekitar yang semakin mencabar, JAS mengakui keupayaan dari sumber manusia sedia ada adalah tidak mencukupi. Sehubungan itu, JAS sedang dalam proses permohonan pengukuhan jabatan selain permohonan pertambahan jawatan. Selain itu, JAS juga telah menggunakan bantuan teknologi seperti penggunaan dron untuk pemantauan kawasan terpencil selain pelbagai program pendidikan dan kesedaran kepada pihak industri. Usaha ini telah membantu mengurangkan kes pembuangan haram dan meningkatkan pematuhan pihak industri terhadap peraturan yang ditetapkan.


Sekian, terima kasih.

Attachments