Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 25 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 62 | Soalan | Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan kekangan Kerajaan untuk mempercepat pembinaan laluan lintasan hidupan liar (wildlife crossing) seperti di Kanada yang terbukti dapat mengurangkan 80 peratus insiden yang melibatkan haiwan liar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius mengenai isu insiden jalan raya yang melibatkan hidupan liar. Dalam pelaksanaan lintasan hidupan liar, perkara-perkara yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:
kos pembinaan lintasan hidupan liar yang tinggi. Contohnya, pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM82.3 juta bagi pembinaan 3 lintasan hidupan liar di Koridor Ekologi Sungai Yu, Pahang; keperluan pembinaan lintasan hidupan liar di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang menghubungkan kawasan hutan utama yang penting bagi pergerakan hidupan liar sepertimana digariskan oleh Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS (PIRECFS). Terdapat 39 Rangkaian Ekologi yang telah dikenal pasti di dalam PIRECFS; perubahan guna tanah di luar kawasan CFS yang tidak sesuai bagi cadangan lintasan hidupan liar dan boleh menyebabkan lintasan tidak berfungsi sebagai penyambung kawasan hutan dan akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar; dan keperluan kajian kesesuaian yang menyeluruh untuk setiap cadangan lintasan hidupan liar baharu terutamanya di kawasan yang berada di luar jajaran CFS.
Daripada aspek reka bentuk, lintasan hidupan liar di Malaysia dibina dengan meninggikan jalan utama bagi memberi laluan lintasan hidupan liar di bawah jalan utama (underpass). Dalam aspek ini, laluan lintasan hidupan liar adalah lebih lebar berbanding Canada Wildlife Crossing yang merupakan laluan lintasan hidupan liar di atas jalan utama (overpass).
Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah membina lintasan hidupan liar di 3 koridor ekologi di Semenanjung Malaysia iaitu Koridor Ekologi Sungai Deka, Terengganu pada tahun 2009, Koridor Ekologi Sungai Yu, Pahang pada tahun 2014 dan Koridor Ekologi Gerik, Perak pada tahun 2015. Terdapat 1 lintasan hidupan liar di Koridor Ekologi Kluang-Mersing, Johor sedang dalam pembinaan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|