Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

25 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

33

Soalan

Senator Tuan Michael Mujah Lihan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status kemajuan Majlis Biodiversiti Negara (MBN) sejak ditubuhkan dan sejauh manakah pengukuhan dasar serta strategi pemuliharaan kepelbagaian biologi secara komprehensif telah dilaksanakan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Majlis Biodiversiti Negara (MBN) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri telah menjadi platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk membincangkan hala tuju, dasar dan strategi pengurusan kepelbagaian biologi negara. 


  1. MBN yang diurussetiakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga merupakan platform peringkat tertinggi dalam mengukuhkan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.


  1. Antara keputusan-keputusan penting MBN dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini yang menyumbang kepada pengukuhan pemuliharaan kepelbagaian biologi secara signifikan adalah penyelarasan Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (National Biodiversity Strategies and Action Plans – NBSAP) dengan kerangka kepelbagaian biologi global iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF), menjadikan Malaysia antara negara pertama menggubal pelan tersebut yang dikenali sebagai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.


  1. MBN turut memutuskan strategi pengukuhan hala tuju penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) sebagai pusat kecemerlangan bagi meningkatkan tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kepelbagaian biologi. Penubuhan MBC kini sedang giat dilaksanakan di tanah berkeluasan 8 ekar di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.


  1. Pengukuhan pengurusan kawasan perlindungan kebangsaan turut dilaksanakan melalui pengemaskinian senarai induk kawasan perlindungan (PA Master List) dan pengoperasian Kumpulan Kerja Kawasan Perlindungan di bawah Kerangka Kawasan Perlindungan Kebangsaan (National Framework for Protected Areas - NFPA). Berdasarkan kepada dokumen tersebut, kawasan perlindungan Malaysia merangkumi kawasan daratan seluas 4.9 juta hektar atau 14.83% serta pesisir pantai dan marin seluas 2.5 juta hektar atau 5.34%.


  1. Platform MBN juga telah memutuskan strategi pengurusan kepelbagaian biologi termasuk pengukuhan konservasi Seladang Malaya (Malayan gaur) melalui pembangunan Pelan Pengurusan Konservasi Seladang Malaya yang komprehensif, menangani konflik manusia-hidupan liar melalui tindakan mitigasi roadkill di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik serta menangani ancaman penyakit zoonotik melalui pembangunan Pelan Tindakan Bersama One Health Kebangsaan dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu One Health Kebangsaan.


  1. MBN turut membincangkan kepentingan penglibatan pemegang taruh khususnya kerajaan negeri dalam menyokong penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Biodiversity Beyond National Jurisdiction (BBNJ) iaitu perjanjian alam sekitar pelbagai hala bagi pemuliharaan dan penggunaan lestari biodiversiti marin di kawasan yang melebihi 200 batu nautika dari garis pantai.  


  1. Selain itu, Mesyuarat MBN turut membincangkan inisiatif-inisiatif pengurusan kepelbagaian biologi serta berkongsi amalan pengurusan terbaik untuk dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan negeri.


Sekian, terima kasih.

Attachments