Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

28 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

66

Soalan

Senator Dato' Hajah Ros Suryati binti Alang minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :-

  1. potensi penerokaan air bawah tanah untuk kegunaan awam dan industri; dan

  2. sejauh manakah kejayaan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dalam aktiviti penerokaan dan pemetaan air bawah tanah di Malaysia khususnya di Bagan Datuk, Perak.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA) menunjukkan Malaysia mempunyai simpanan air  bawah tanah sebanyak 5,000 billion meter padu dan berpotensi dimajukan secara konjungktif bersama sumber air sedia ada untuk pelbagai kegunaan termasuk domestik, pertanian dan industri. Walau bagaimanapun, siasatan terperinci tapak perlu dijalankan di setiap lokasi penerokaan air bawah tanah yang dicadangkan bagi memastikan penggunaan yang lestari dan mengikut prinsip pembangunan mampan.


Soalan (b)


  1. Kementerian melalui (JMG) telah melaksanakan Projek Pemetaan Hidrogeologi dan Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah Di Negeri Perak yang memfokuskan kawasan bermasalah bekalan air di Daerah Bagan Datuk, Perak. Projek ini telah dijalankan dari tahun 2018 hingga 2022 dengan kos perbelanjaan RM6.45 juta. Melalui projek ini, sebanyak 28 buah telaga ujian telah dibina manakala tujuh (7) buah Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) telah disediakan sebagai sumber air domestik untuk kegunaan penduduk setempat di sekitar Teluk Baru, Selekoh, Rungkup dan Pekan Bagan Datuk.


  1. Sumber air bawah tanah dari dua (2) buah telaga ujian yang dibina dalam kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Bagan Datuk digunakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) menjadi sumber bekalan air kepada penduduk sekitar Bagan Datuk. LRA Bagan Datuk direka khas untuk merawat air bawah tanah dan merupakan LRA yang pertama menggunakan air bawah tanah di Negeri Perak. Kajian JMG menunjukkan dua (2) buah telaga di Loji Rawatan Air Bagan Datuk berkemampuan membekal sebanyak 3.65 juta liter sehari.


Sekian, terima kasih.

Attachments