Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 26 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 47 | Soalan | Senator Tuan Musoddak bin Ahmad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pelan pembangunan strategik industri unsur nadir bumi (REE) serta langkah memastikan hasil tersebut dapat dimanfaatkan secara bersama dengan Kerajaan Negeri.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mempunyai perancangan jangka panjang untuk membangunkan industri nadir bumi (REE) negara secara menyeluruh. Ia adalah selaras dengan matlamat kerangka Dasar Mineral Negara 3 untuk menjadikan industri mineral sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan keseluruhan rantaian nilai secara bertanggungjawab dan mampan dengan penekanan terhadap tadbir urus, teknologi, modal insan, serta alam sekitar.
- Berdasarkan hala tuju yang dipersetujui di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pembangunan industri REE dilaksanakan secara berfasa:
- Fasa 1 (2024–2027) memberi tumpuan kepada penguatkuasaan dasar larangan eksport REE mentah serta rundingan dengan pihak yang memiliki teknologi untuk membangunkan loji pemprosesan di REE dalam negara dengan penglibatan syarikat bukan kerajaan (GLC);
- Fasa 2 (2027–2030) memacu pembangunan rantaian nilai dalam negara termasuk pewujudan kemudahan pemprosesan REE dalam negara serta rundingan untuk menarik pelaburan dalam industri hiliran; dan
- Fasa 3 (2030 ke atas) menjadikan Malaysia sebagai hab industri REE serantau dan global yang mempunyai rantaian industri REE yang lengkap bagi pemprosesan dan pengeluaran produk hiliran berteknologi tinggi.
- Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan sentiasa menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri berhubung urusan tanah, termasuk mineral REE sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebarang dasar berkaitan REE akan dirumus dan diputuskan secara inklusif melalui platform libat urus dan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti Majlis Mineral Negara (MMN) dan Majlis Kewangan Negara (MkewN).
- Ia dilaksanakan berasaskan prinsip kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan industri REE mengambil kira kepentingan, hak dan bidang kuasa negeri. Pendekatan ini juga memastikan manfaat ekonomi, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan pembangunan infrastruktur dapat dinikmati bersama oleh negeri-negeri pengeluar.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|