Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 25 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 76 | Soalan | Senator Dato' Shamsuddin bin Haji Abd Ghaffar minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- - jumlah kes pencerobohan tanah Kerajaan bagi aktiviti perlombongan mineral dan berapakah kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan; dan
- apakah rancangan Kementerian dalam melahirkan industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) dalam kalangan syarikat tempatan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Soalan (a) - Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang diperoleh daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri, sebanyak 21 kes pencerobohan tanah Kerajaan bagi tujuan perlombongan mineral secara haram telah direkodkan bagi tempoh Januari 2022 hingga Mei 2025. Kes-kes ini melibatkan beberapa negeri iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan mineral utama yang terlibat termasuk emas dan unsur nadir bumi (REE). Walaupun anggaran kerugian sebenar kepada Kerajaan tidak dapat ditentukan secara tepat kerana kegiatan tersebut dijalankan tanpa pemantauan rasmi, taksiran nilai rampasan bahan mineral, jentera dan peralatan dianggarkan sekitar RM2.89 juta.
Soalan (b)
- Bagi melahirkan industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kalangan syarikat tempatan, Kerajaan telah merangka beberapa strategi pembangunan berfasa merangkumi jangka pendek (2025–2027), sederhana (2027–2030) dan panjang (selepas 2030). Antara langkah utama ialah:
- Pembangunan dasar dan hala tuju nasional – melalui Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) yang menekankan pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral termasuk REE secara mampan;
- Moratorium eksport mentah REE – dilaksanakan bagi mengelakkan sumber negara terus dieksploitasi tanpa nilai tambah. Langkah ini juga bertujuan menarik pelaburan dalam pembinaan loji pemprosesan tempatan, kilang pembuatan logam/aloi REE, dan super magnet;
- Pemerkasaan kapasiti tempatan – melalui Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara (NAMTR) 2021–2030 serta penubuhan Konsortium Bahan Termaju Negara (NAMC) sebagai pusat sehenti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, bagi memastikan syarikat tempatan dapat terlibat secara lebih meluas dalam ekosistem industri REE; dan
- Penubuhan Special Task Force Pembangunan Industri REE – melibatkan penyelarasan antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), MITI, MOSTI, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, untuk menyelaras pelaburan, teknologi serta pemindahan kepakaran dalam industri ini.
- Dengan pendekatan ini, Kementerian yakin bahawa industri REE di Malaysia bukan sahaja akan berupaya meningkatkan nilai tambah ekonomi negara, tetapi juga melahirkan syarikat tempatan yang berdaya saing serta menguasai teknologi strategik dalam jangka masa panjang.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|