Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

25 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

42

Soalan

Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha Kementerian dalam memperkasakan sektor mineral negara sebagai sumber pendapatan baharu khususnya melalui pembangunan unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE) serta menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan kelewatan dalam mengeluarkan SOP REE.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengenal pasti industri mineral khususnya unsur nadir bumi (REE) sebagai sektor strategik yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada pendapatan negara. Pembangunan industri ini dirancang secara berfasa iaitu fasa jangka pendek (2025–2027) yang melibatkan usaha rundingan dengan pihak yang memiliki kapasiti teknologi bagi membangunkan loji pemprosesan tempatan, sebelum negara mempunyai loji pemprosesan sendiri pada fasa jangka sederhana (2027–2030) dan disasarkan mempunyai keseluruhan rantaian nilai industri REE pada fasa jangka panjang (selepas 2030).


  1. Bagi memperkukuh ekosistem industri REE, Kerajaan sebelum ini telah memulakan beberapa usaha bagi membangunkan industri tersebut. Ia termasuklah penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE di Malaysia, pembangunan Projek Perintis Perlombongan REE di Mukim Kenering, Perak, dan menjalankan kajian Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri REE-Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) di Malaysia. 


  1. Pada masa ini, Kerajaan melalui Insitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang menjalankan kajian impak perlombongan REE dalam ekosistem hutan bagi membantu Kerajaan menilai dasar berkaitan aktiviti perlombongan REE dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) berdasarkan asas saintifik. Ini kerana, hasil kajian awal yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menunjukkan bahawa terdapat taburan sumber yang banyak di dalam kawasan HSK, namun pengusaha hasilannya bertentangan dengan dasar semasa Kerajaan.    


  1. Selain itu, Kerajaan juga menggalakkan pihak institusi penyelidikan, institut pengajian tinggi dan pihak industri untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bagi meningkatkan kapasiti teknologi dan kepakaran dalam bidang perlombongan, pemprosesan dan pemulihan sisa hasil dari aktiviti dalam industri REE.


  1. Usaha bersepadu dan meliputi pelbagai peringkat dalam industri ini penting untuk memastikan industri REE mampu menjadi sumber pendapatan baharu negara yang mampan, serta memberikan impak yang signifikan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


Soalan (b)


  1. Berhubung dengan pertanyaan mengenai kelewatan dalam mengeluarkan SOP REE, Kementerian ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa SOP Perlombongan REE di Malaysia telah pun disediakan dan diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023. SOP ini merangkumi panduan lengkap aspek teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan mineral. Dokumen ini disusun sebagai rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada dan boleh disesuaikan mengikut undang-undang negeri masing-masing.


  1. Perkara ini telah pun dijelaskan melalui kenyataan media Kementerian bertarikh 19 Mei 2025 dan 29 Oktober 2024 sebelum ini. 


Sekian, terima kasih.


Attachments