Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 27 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 68 | Soalan | Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bacaan kualiti air terkini sungai-sungai yang terkesan oleh pencemaran dari kandang-kandang babi di Kampung Selamat yang mengalir ke kawasan-kawasan di Tasek Gelugor dan Kepala Batas serta apakah langkah penyelesaian yang telah dan akan diambil.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan program pengawasan kualiti air sungai melalui 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual di 672 sungai di Negara ini dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen pengawasan adalah sebanyak enam (6) kali setahun. Selain itu terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Berdasarkan semakan yang dilakukan oleh JAS, kedudukan Kampung Selamat adalah berhampiran dengan Sungai Air Melintas dan Sungai Kereh. JAS memantau kualiti air sungai melalui satu (1) stesen pengawasan kualiti air sungai manual di Sungai Melintas dan tiga (3) stesen pengawasan kualiti air sungai manual di Sungai Kereh. Status terkini menunjukkan bahawa Indeks Kualiti Air (IKA) bagi kedua-dua sungai tersebut adalah di dalam Kelas III dan dikategorikan sebagai “Tercemar”.
Pencemaran yang berpunca daripada penternakan babi ini dikawal selia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016 manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang pula merupakan pihak berkuasa utama dalam penguatkuasaan dan pemantauan ladang babi di bawah enakmen ini yang juga mengawal lesen ternakan khinzir melalui Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020. Antara tindakan mitigasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang dalam mengatasi masalah pencemaran air yang sedang berlaku adalah dengan melaksanakan pemberian UMAS (Useful Microbes Activated Solution) secara percuma kepada pemilik ladang khinzir di Kampung Selamat manakala aktiviti pencurahan UMAS ke dalam saliran air di Kampung Selamat turut dilaksanakan secara mingguan.
Di samping itu, satu (1) projek rintis (pilot project) telah dijalankan untuk tujuan rawatan air kumbahan menggunakan teknologi Quantum Thermal Cracking di dua (2) ladang di Kampung Selamat, Daerah Seberang Perai Utara. Rawatan ini dijangka dapat mengatasi isu pencemaran air dan bau yang berlaku di Kampung Selamat.
Selaras dengan hasrat penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang bertujuan untuk memantau isu dan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/ Kementerian dan Kerajaan Negeri, NRES dan JAS akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah pencemaran yang berpunca daripada aktiviti penternakan melalui pengawasan kualiti air sungai secara berterusan.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|