Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 27 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 25 | Soalan | Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia tidak dapat mempercepatkan pembangunan Industri Nadir Bumi (REE); dan kemajuan yang telah dicapai dalam usaha membangunkan industri nadir bumi setakat ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
Permintaan terhadap unsur nadir bumi (REE) meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh perubahan besar dalam teknologi global dan dasar peralihan tenaga bersih. Peningkatan pelaburan dalam bidang ini melonjakkan permintaan kepada REE yang merupakan bahan penting dalam penghasilan super magnet untuk pembuatan kincir angin dan motor elektrik. Selain itu, keperluannya dalam pelbagai sektor berimpak tinggi seperti satelit dan pertahanan, telefon pintar dan robotik menyebabkan banyak negara meletakkan REE dalam senarai mineral kritikal atau strategik.
Walaupun Malaysia merupakan antara sebilangan negara yang memiliki sumber REE, pembangunan industri ini tidak dapat dibuat dengan pantas kerana beberapa faktor. Faktor utama adalah kerana Malaysia masih belum bersedia dengan kepakaran dan teknologi untuk memanfaatkan sumber yang dimiliki. Untuk makluman, projek perlombongan REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak dijalankan dengan menggunakan kaedah in-situ leaching kerjasama teknologi dari China. Walaupun banyak pihak mendakwa mempunyai kepakaran dan teknologi berkaitan, ia masih belum dibuktikan pada tahap komersial.
Seterusnya, ketiadaan loji pemprosesan bagi mengasingkan unsur REE yang bernilai tinggi dari sumber tempatan juga menjadi penghalang untuk industri ini dibangunkan dengan pantas. Pada ketika ini, China mendominasi keseluruhan rantaian nilai industri REE global termasuk pada peringkat pemprosesan. China juga menetapkan dasar larangan pengeksportan teknologi berkaitan ke luar negara bagi mengekalkan dominasi ini dari dicabar oleh negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat.
Bagi menyokong pembangunan loji pemprosesan tempatan, Kerajaan menetapkan moratorium pengeksportan mentah REE. Walaupun ia memberikan kesan kepada perkembangan industri di peringkat huluan, Kerajaan berpandangan ia merupakan keputusan strategik yang perlu dibuat bagi mengelakkan sumber REE dilombong dan dieksport secara mentah yang merugikan negara dalam jangka masa panjang.
Faktor lain termasuk ketiadaan data menyeluruh dan terperinci mengenai lokasi, kuantiti dan status guna tanah sumber REE. Hasil kajian awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia pada tahun 2019 yang menganggarkan potensi sumber negara sebanyak 16.1 juta tan metrik, hanya merupakan anggaran di peringkat sumber teragak atau inferred resource. Anggaran sumber ini masih memerlukan kajian lanjut bagi menentusahkan sumber yang boleh dilombong, dengan turut mengambil kira dasar Kerajaan yang tidak menyokong aktiviti perlombongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan rizab perlindungan.
Soalan (b)
Di sebalik cabaran-cabaran tersebut beberapa kemajuan telah dicapai dalam usaha membangunkan industri REE setakat ini. Kejayaan utama ialah kejayaan membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia yang telah diedarkan kepada semua kerajaan negeri pada Disember 2023. Ia merupakan prosedur lengkap yang merangkumi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan.
Selain itu, projek perintis perlombongan menggunakan kaedah in-situ leaching telah dilaksanakan di Mukim Kenering, Perak sejak Oktober 2022. Projek tersebut berjaya memberikan keyakinan bahawa projek perlombongan REE boleh dilaksanakan secara terkawal dan mampu membawa manfaat yang besar kepada kerajaan, pihak industri dan masyarakat setempat dengan kesan negatif yang minimum.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|