Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

19

Soalan

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [ Jerantut ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status terkini pelaksanaan Garis Panduan Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan-Radioaktif (NR-REE) yang diumumkan oleh Kerajaan serta tahap pematuhan negeri-negeri terhadap garis panduan tersebut.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE di Malaysia disediakan berpandukan kepada SOP Perlombongan REE Negeri Perak yang telah disediakan lebih awal bagi mengawal selia pembangunan Projek Perintis Perlombongan REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. SOP ini telah melalui sesi libat urus dengan pihak kerajaan negeri dan diluluskan Majlis Mineral Negara (MMN) pada 8 Mei 2023. Jabatan Mineral dan Geosains berperanan sebagai agensi utama dalam memantau pematuhannya.


  1. SOP tersebut memberi panduan lengkap dari aspek teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan. Melalui surat edarannya kepada semua kerajaan negeri bertarikh 20 Disember 2023, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa ia merupakan dokumen prosedur umum yang merangkumkan akta dan perundangan berkaitan. Pihak kerajaan negeri telah diminta membangunkan dokumen SOP mengikut kesesuaian perundangan di negeri masing-masing berdasarkan SOP tersebut.


  1. Prosedur yang terkandung dalam SOP tersebut merangkumi aktiviti pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan, termasuk keperluan kelulusan Laporan Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum permohonan Skim Pengoperasian Lombong (OMS) boleh dipertimbangkan. Pelaksanaan pemulihan secara progresif sepanjang tempoh perlombongan serta tindakan pemuliharaan menyeluruh selepas lombong ditutup, seperti perbaikan tanah tercemar, penanaman semula, pembersihan tapak dan pemantauan alam sekitar turut diperincikan dalam SOP berkenaan.


  1. Dari segi pelaksanaan dan pematuhan kepada SOP, pada masa ini hanya negeri Perak yang mempunyai projek perlombongan yang telah beroperasi setelah memperolehi semua kelulusan yang diperlukan di peringkat Persekutuan dan negeri. Projek tersebut  sebelum ini merupakan tapak projek perintis perlombongan REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Hasil pengauditan yang dijalankan mendapati penggerak projek telah mematuhi dengan sebaiknya kehendak di dalam SOP dan keperluan agensi-agensi teknikal terlibat.


  1. Negeri-negeri lain pula telah mula menyediakan dokumen SOP berdasarkan perundangan di negeri masing-masing. Negeri Sembilan misalnya telah secara rasmi melulus dan mengadaptasi SOP tersebut pada Januari 2024. Antara perkara yang ditekankan di Negeri Sembilan adalah kegiatan perlombongan mestilah dikendalikan melalui usaha sama pihak negeri dan pihak swasta, dengan pemantauan ketat bagi memastikan pematuhan alam sekitar dan kawalan hasil.


  1. Secara umumnya, pihak kerajaan negeri menerima pakai prosedur yang ditetapkan dalam SOP berkenaan, namun tahap pelaksanaan dan pematuhan pada ketika ini hanya boleh dinilai pada peringkat proses permohonan memandangkan tiada lagi projek perlombongan REE yang telah dimulakan selain di negeri Perak. Pada masa ini, terdapat permohonan untuk menjalankan aktiviti perlombongan di Negeri Sembilan dan Johor yang telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan laporan EIA. Permohonan bagi negeri-negeri lain masih pada peringkat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

 

Sekian, terima kasih.

Attachments