Tuan Yang di-Pertua,
Bagi memastikan eksplorasi air bawah tanah dilaksanakan secara lestari dan mengikut prinsip pembangunan mampan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menguatkuasakan Peraturan di bawah Akta Penyiasatan Kajibumi 1974 dan penerbitan garis panduan seperti berikut:
Perincian Data Telaga Abstraksi
Peraturan-Peraturan Penyiasatan Kaji Bumi (Pemberitahuan Pemajuan Telaga dan Korekan) 2013 menghendaki setiap individu/syarikat/agensi yang berhasrat untuk membangunkan sumber air bawah tanah hendaklah memaklumkan kepada JMG bagi pembinaan telaga tiub. Ini bagi memastikan data telaga di seluruh negara sentiasa dikemaskini dan menyokong sistem maklumat pengurusan air negara;
Pembinaan Telaga Tiub
Pembinaan telaga tiub juga hendaklah berpandukan kepada Garis Panduan Pembinaan Telaga Tiub untuk Tujuan Eksplorasi, Pemantauan dan Pengeluaran dalam Penggunaan Sumber Air Bawah Tanah (JMG.GP.27) antaranya bertujuan memastikan abstraksi yang selamat;
Eksplorasi Air Bawah Tanah
Aktiviti hidrogeologi yang dijalankan oleh pegawai JMG perlu dilaksanakan berdasarkan Garis Panduan Eksplorasi Air Tanah (JMG.GP.09) supaya kajian sumber air tanah dapat dilaksanakan secara sistematik dan seragam ke arah pengurusan sumber air tanah yang lestari. Garis panduan ini juga boleh dijadikan rujukan oleh pihak industri dan orang awam;
Pemantauan Air Bawah Tanah
Garis Panduan Pengukuran Paras Air Tanah Dan Persampelan (JMG.GP.16) disediakan sebagai panduan untuk melaksanakan kerja-kerja persampelan air tanah untuk penilaian kualiti, pembangunan dan pemantauan air bawah tanah. Ini juga dapat meramal kesan abstraksi air tanah ke atas sistem dan corak perubahan simpanan air tanah dari semasa ke semasa.
Air Mineral
Pematuhan terhadap Garis Panduan Penyediaan Laporan Hidrogeologi Dan Geologi Bagi Maksud Permohonan Lesen Punca Air Mineral Semula Jadi (JMG.GP.19) oleh pengusaha air mineral membantu melindungi sumber air tanah daripada pencemaran dan eksploitasi berlebihan serta memastikan sumber air adalah selamat dan berkualiti. Ia menggalakkan penggunaan teknologi bersih dan perancangan telaga yang lebih selamat.
Secara tidak langsung, pematuhan kepada peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan ini menyokong matlamat pembangunan mampan seperti akses kepada air bersih (SDG 6), pengurusan sumber yang bertanggungjawab (SDG 12), dan perlindungan ekosistem daratan (SDG 15).
Sekian, terima kasih.