Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

19

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

  1. apakah garis masa cadangan pindaan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678]; dan

  2. adakah polisi bio keselamatan kita mampu mengawal teknologi baru seperti CRISPR, GMOs, dan bioteknologi industri memandangkan teknologi berkembang lebih cepat daripada dasar.

Jawapan

Soalan (a)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] telah diwartakan pada 30 Ogos 2007 dan agensi bertanggungjawab untuk mengawal selia akta ini ialah Jabatan Biokeselamatan (JBK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).


  1. Semenjak akta ini dikuatkuasakan pada tahun 2007 serta mengambil kira perkembangan semasa dalam bidang bioteknologi, saya berpandangan adalah wajar untuk membuat semakan dan pindaan terhadap akta tersebut supaya ia terus kekal relevan.


  1. Dalam hal ini, pindaan Akta Biokeselamatan 2007 ini dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen seawal pertengahan tahun 2026 dengan mengambil kira proses-proses yang perlu dilibatkan termasuk pandangan dan maklum balas pihak-pihak berkepentingan.  


  1. Ini penting bagi memastikan pindaan akta ini adalah komprehensif dan berkesan dalam melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.


Soalan (b) 


  1. Organisma Diubah Suai Genetik (GMO) adalah organisma (bakteria, tumbuhan atau haiwan) yang telah diubah jujukan gen menggunakan kaedah bioteknologi moden (untuk penghasilan organisma dengan ciri-ciri baharu). Sebagai contoh, jagung yang tidak dimakan serangga perosak (pest resistant). 


  1. Berdasarkan  kepada   dasar   sedia    ada   yang  merangkumi  aspek perundangan,  piawaian   teknikal   dan   kerangka   institusi   yang    teratur, Malaysia    mempunyai    keupayaan   yang   jelas    dalam    mengawal   dan menyesuaikan   diri   dengan   kemunculan   teknologi  baharu dalam bidang bioteknologi   seperti   CRISPR,    GMO   serta   bioteknologi   industri   yang semakin berkembang pesat.


  1. Malaysia menganggotai Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity) sejak tahun 1994 dan  merupakan anggota kepada Protokol Cartagena Mengenai Biokeselamatan (Cartagena Protocol on Biosafety) sejak tahun 2003. Dalam hal ini, selaku parti kepada kedua-dua konvensyen dan protokol di peringkat global, Negara kita sentiasa memberikan kerjasama dan menggubal polisi bagi pemakaian dalam Negara ke arah mematuhi konvensyen dan protokol. Komitmen terhadap konvensyen dan protokol antarabangsa ini membolehkan Negara  sentiasa   mengikuti   perkembangan semasa, perbincangan teknikal dan garis panduan terkini berkaitan teknologi bioteknologi moden termasuk teknologi baharu seperti CRISPR dan bioteknologi industri. 


  1. Malaysia mempunyai Akta Biokeselamatan 2007 yang mengawal selia pelepasan, pengimportan, pengeksportan dan kegunaan terkawal organisma diubah suai yang hidup dan pelepasan hasilan organisma sedemikian dengan tujuan melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta alam sekitar dan kepelbagaian biologi. Akta ini penting bagi memastikan tanaman GMO atau produk berasaskan GMO yang memasuki pasaran adalah selamat bagi manusia dan alam sekitar. 


  1. Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) selaku pembuat keputusan berhubung permohonan melibatkan GMO serta hasilannya mempunyai tata kelola yang berstruktur. Sebelum membuat sesuatu keputusan, LBK akan mendapatkan nasihat teknikal daripada Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (GMAC) dan Jawatankuasa Kecil di bawah GMAC. Selain itu, sekiranya permohonan GMO serta hasilannya mempunyai kesan terhadap aspek sosioekonomi persekitaran, maka LBK akan mendapatkan nasihat daripada Jawatankuasa Penilaian Sosioekonomi (JPSE).


  1. Selain itu, Kementerian melalui JBK telah mengambil tindakan proaktif dalam merangka strategi penguatkuasaan dan pelaksanaan Akta Biokeselamatan  2007.  Strategi   penguatkuasaan   ini direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan sembilan (9) agensi penguat kuasa di bawah Jadual Ketiga, Akta 678. 


  1. JBK juga terlibat dengan pembangunan kapasiti untuk memahami isu yang berbangkit dengan penggunaan teknologi penyuntingan genetik bersama pakar daripada Negara luar termasuk yang telah mempunyai prosedur yang boleh diguna pakai seperti Negara Argentina dan Filipina. Pegawai di JBK juga didedahkan dengan perkembangan teknologi semasa dengan menghadiri kursus dan latihan berkaitan di luar Negara. 


Sekian, terima kasih.

Attachments