Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

2

Soalan

Dato' Dr. Haji Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Bagi menilai kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) secara bertanggungjawab di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah bersetuju supaya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melaksanakan kajian impak aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan. Kajian ini bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan kawasan rizab perlindungan. 


  1. Pelaksanaan kajian ini dirancang secara berfasa dalam tempoh lima tahun melibatkan fasa pra-perlombongan (2024–2025), semasa perlombongan (2026–2027) dan pasca perlombongan (2028–2029). Ia turut melibatkan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan PLANMalaysia. Komponen kajian meliputi enam aspek utama iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosio-ekonomi.


  1. Di samping itu, FRIM turut menjalankan kajian jangka pendek pada tahun 2024 di kawasan ladang getah di Mukim Kenering, Perak yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap (in-situ leaching). Berdasarkan laporan kajian awalan tersebut, ia boleh dirumuskan bahawa aktiviti perlombongan REE hanya memberi impak negatif yang minima sekiranya dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan. 


  1. Pengumpulan data ulangan bagi tahun 2025 sedang dilaksanakan bagi membandingkan dapatan awalan dan terkini. Aktiviti ini dijangka selesai pada September 2025 bagi tujuan pelaporan pada Oktober 2025. Walau bagaimanapun, FRIM masih perlu menilai impak perlombongan di kawasan hutan asli sebelum merumuskan kajian secara keseluruhan.


  1. Sebarang keputusan dasar berkaitan aktiviti perlombongan di HSK hanya akan dipertimbangkan selepas kajian oleh pihak FRIM ini dimuktamadkan. 

 

Sekian, terima kasih.

Attachments