Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

12 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

56

Soalan

Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob [ Bera ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah Kementerian untuk mencapai sasaran sifar karbon pada tahun 2050 dan sehingga kini, apakah pencapaiannya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menerbitkan dokumen strategi jangka panjang pembangunan rendah karbon atau Long-Term Low Emission Development Strategies (LT-LEDS) dan telah diluncurkan pada 6 Mei 2025. Dokumen ini menggariskan langkah-langkah bagi mencapai sasaran sifar bersih karbon negara pada tahun 2050. 


  1. Secara ringkasnya, terdapat lima belas (15) strategi sektoral yang digariskan seperti tenaga boleh baharu, penstoran bateri, bahan api hijau, saling sambung bagi pembekalan tenaga elektrik, elektrifikasi kenderaan,  pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon, amalan pertanian mampan, amalan kitar semula, pengasingan sisa dan lain-lain.


  1. Langkah-langkah yang perlu dijalankan pada peringkat negara perlulah melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk sinergi antara kementerian, agensi, kerajaan negeri, industri dan pihak-pihak lain berasaskan pendekatan keseluruhan negara (whole nation approach).

 

  1. Konteks semasa bagi usaha penyahkarbonan negara terbahagi kepada dua, iaitu sasaran Nationally Determined  Contribution (NDC)  pada tahun 2030 dan sasaran / aspirasi untuk mencapai sifar bersih karbon pada tahun 2050. 


  1. Sasaran NDC negara pada tahun 2030 ialah Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2030. 


  1. Dalam hal ini, pencapaian semasa negara dalam usaha penyahkarbonan boleh dirujuk dalam laporan Malaysia’s First Biennial Transparency Report (BTR1) yang telah dikemukakan oleh pihak NRES kepada pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). Bagi tahun 2021, negara telah mencapai sasaran NDC sebanyak 37.12%. Kerajaan akan meneruskan usaha dekarbonisasi pada peringkat negara melalui tindakan-tindakan strategik yang melibatkan semua pihak seperti yang digariskan dalam dokumen-dokumen NDC Roadmap dan LT-LEDS serta dokumen Rancangan Malaysia.  


Sekian, terima kasih.

Attachments