Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

12 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

55

Soalan

Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah dinamik Kementerian dalam membanteras jenayah pelupusan sisa elektronik (e-waste) secara haram yang dilakukan oleh premis yang beroperasi tanpa permit sah terutamanya sisa yang diseludup masuk ke dalam negara. Nyatakan juga statistik kes kemasukan e-waste ke Malaysia dan jumlah premis yang telah dikenakan tindakan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian terus komited untuk membanteras jenayah pelupusan e-waste secara haram. Antara tindakan yang dilaksanakan ialah:

  1. Menggandakan usaha membanteras kilang haram yang memproses e-waste melalui operasi bersepadu seperti Ops Hazard secara serentak di seluruh negara pada Februari 2025 dan Jun 2025 melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan, agensi Persekutuan dan Pihak Berkuasa Negeri. Sebanyak 122 premis telah diserbu dan tindakan telah di ambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dalam operasi Ops Hazard 1.0, sebanyak 53 premis di seluruh negara telah diserbu dengan jumlah e-waste terkumpul berjumlah 9,356 tan manakala dalam operasi Ops Hazard 2.0, sebanyak 69 premis telah diserbu dengan jumlah e-waste terkumpul adalah sebanyak 2,069 tan.

  2. Memperkukuhkan mekanisme kawalan di pintu masuk sempadan serta meningkatkan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi yang terlibat di pelabuhan termasuk JKDM, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan JAS; dan

  3. Meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain dalam aspek penyaluran maklumat mengenai kapal-kapal membawa kontena yang disyaki mengandungi e-waste yang akan masuk melalui pelabuhan Negara.


  1. Sepanjang tempoh 2023 sehingga Mei 2025, sebanyak 779 kontena mengandungi e-waste telah ditahan dan 583 kontena telah diperiksa oleh JAS. Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 119 Notis Arahan telah dikeluarkan kepada syarikat pengimport bagi menghantar kembali kontena ke negara asal di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. Sehubungan itu, sebanyak 294 kontena telah dihantar pulang ke negara asal. Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya yang mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual sama ada untuk import, eksport, transit atau transhipment mendapat kebenaran bertulis daripada JAS terlebih dahulu.


Sekian, terima kasih.

Attachments