Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 12 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 22 | Soalan | Puan Wong Shu Qi [ Kluang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan senarai kemudahan yang telah dibangunkan bagi menangani konflik manusia-haiwan liar seperti lintasan hidupan liar, sistem pagar elektrik gajah, bank makanan dan lain-lain dengan pecahan mengikut lokasi, panjang/jarak, tahun mula operasi serta tahap keberkesanan setiap kemudahan dalam mengurangkan insiden konflik.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius mengenai isu konflik manusia dan hidupan liar. Bagi tujuan ini, pelbagai kemudahan telah dibangunkan bagi menangani isu ini antaranya seperti berikut:
pembinaan sebanyak 3 lintasan hidupan liar (viaduct) di Semenanjung Malaysia iaitu koridor ekologi Sg. Deka, Terengganu pada tahun 2009, koridor ekologi Sg. Yu pada tahun 2014 dan koridor ekologi Gerik, Perak pada tahun 2015; pembinaan sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal bermula dari tahun 2009 dengan jumlah liputan sepanjang 305.6 km di kawasan konflik manusia dan gajah di 5 buah negeri keliaran gajah iaitu Pahang, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu; pelaksanaan sebanyak 9 Program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEGKOM) mudah alih melibatkan 7 lokasi yang melibatkan penduduk kampung dalam membuat pemantauan pengurusan SPEG bermula dari tahun 2019; pelaksanaan 3 bank makanan (food bank) gajah di Johor melibatkan Food Bank Gajah Panti (Pusat Santuari Gajah) pada tahun 2024, Food Bank Gajah Landang Landak (KLK) pada tahun 2024 dan Food Bank Gajah Orang Asli Kudung pada tahun 2024 bagi meningkatkan kualiti habitat keliaran gajah melalui pengurusan dan pengayaan sumber makanan serta habitat; pembinaan Santuari Gajah Johor Fasa 1 yang melibatkan pembangunan fasiliti asas pada tahun 2020 dan Fasa 2 yang melibatkan pembangunan kemudahan pelawat sehingga 2026 bagi mengurangkan gangguan konflik gajah di kawasan pertanian dan penempatan. Santuari Gajah Johor telah mula beroperasi pada September 2020; dan penggunaan teknologi seperti kolar satelit, Unmanned Arial Vehicle (UAV) dan perangkap kamera bermula dari tahun 2018. Pemasangan kolar satelit ke atas 17 ekor gajah di negeri Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Johor berfungsi sebagai sistem amaran awal dan mengesan pergerakan gajah.
Kemudahan-kemudahan yang dibangunkan telah membantu Jabatan PERHILITAN memantau kehadiran hidupan liar, melaksanakan tindakan mitigasi dan mengurangkan konflik setempat dengan lebih berkesan.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|