Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

12 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

5

Soalan

Dato' Haji Adnan bin Haji Abu Hassan [ Kuala Pilah ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan inisiatif dan langkah terkini Kementerian dalam melindungi dan memelihara haiwan liar di Malaysia serta sejauh mana kerjasama dengan agensi Kerajaan lain dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dalam usaha ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memulihara khazanah hidupan liar negara antara lain seperti berikut:

  1. pelaksanaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan Renjer Komuniti bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan hotspot dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia termasuk Taman Negara, Rizab Hidupan Liar (RHL), Taman-taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tapak Ramsar;

  2. pelaksanaan Wildlife Management Plan (WMP) dan Wildlife Impact Study (WIS) di dalam Environmental Impact Assessment (EIA) bagi mengenal pasti impak dan tindakan mitigasi akibat pembangunan yang melibatkan habitat hidupan liar;

  3. pelaksanaan Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi membantu usaha pemuliharaan Harimau Malaya; dan

  4. pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang penyelidikan, latihan kakitangan dan program kesedaran awam.


  1. Pelaksanaan inisiatif ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui usaha-usaha berikut:

  1. pelaksanaan Survei Harimau Kebangsaan Pertama (First National Tiger Survey - NTS1) oleh World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung) dan Wildlife Conservation and Science Malaysia (WCS) pada tahun 2016 hingga 2020 di landskap hutan-hutan Central Forest Spine (CFS) Semenanjung Malaysia;

  2. pelaksanaan survei hidupan liar terancam di dalam dan luar Taman Negara – Banjaran Titiwangsa (TNBT) oleh WWF Malaysia, Pelindung, WCS dan Panthera Malaysia;

  3. bantuan dana dalam usaha konservasi Harimau Malaya dan hidupan liar lain oleh pihak swasta dan NGO seperti Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Tenaga Nasional Berhad;

  4. pembanterasan pencerobohan dan pemburuan haram hidupan liar dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Perbadanan Taman Negara Johor, Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Pahang, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dan pihak berkuasa negeri di bawah inisiatif OBK; dan

  5. pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Jabatan PERHILITAN dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerjasama strategik bersama NGO seperti RIMAU bagi tujuan memperhebatkan promosi dan kesedaran awam berkaitan usaha konservasi Harimau Malaya melalui Kempen Selamatkan Harimau Malaya.


Sekian, terima kasih. 

Attachments