Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perkara-perkara berhubung tanah rizab melayu adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan pembahagian bidang kuasa perundangan di bawah Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dan butiran 2(b), Senarai II - Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan rekod yang diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), status tanah rizab Melayu sehingga 31 Disember 2024 adalah seluas 4,956,639.26 hektar dan ini tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu.
Pemantauan tanah rizab melayu dibincangkan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) di peringkat Persekutuan bagi merundingkan perkara-perkara berhubung tanah di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang melibatkan ketidakseragaman penguatkuasaan enakmen di antara negeri-negeri, proses penggantian tanah yang terganggu akibat pembangunan dan cabaran pembangunan di atas tanah berstatus rizab melayu.
Selain itu, Kementerian juga telah mengambil inisiatif menggunapakai Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS) yang merupakan platform perkongsian maklumat geospatial bagi Agensi Kerajaan secara atas talian. MyGOS berperanan menyediakan pangkalan data secara spatial untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melaksanakan pembangunan berskala besar atau merancang pembangunan serta membantu PBN menguruskan Tanah Rizab Melayu secara lebih sistematik.
Sekian, terima kasih.