Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

06 August 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

27

Soalan

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi jangka panjang Kementerian dalam mengurus sisa bateri kenderaan elektrik (EV) secara mampan termasuk pelan kitar semula, teknologi pemulihan bahan dan standard keselamatan bagi memastikan pertumbuhan industri EV tidak mewujudkan risiko pencemaran baru terhadap alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa cakna berkaitan pengurusan sisa bateri Electric Vehicle (EV). Ini adalah penting bagi memastikan pertumbuhan pesat industri EV tidak membawa kepada risiko pencemaran baharu. Strategi ini merangkumi beberapa aspek utama antaranya:

  1. Dasar dan Perundangan

  1. Polisi Jabatan Alam Sekitar (JAS) memang telah menetapkan supaya buangan terjadual termasuklah bateri terpakai melalui proses pemerolehan kembali selari dengan konsep ‘cradle to cradle’ bagi mengurangkan impak pencemaran kepada alam sekitar. Selain itu, teknologi pemerolehan kembali yang digunakan juga perlu mematuhi perundangan alam sekitar yang ditetapkan; dan

  2. Sisa bateri EV dikelaskan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW 103, Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974). Oleh itu, pengurusan sisa bateri EV adalah tertakluk di bawah peraturan tersebut.

  1. Teknologi Pemerolehan Kembali

  1. Di Malaysia kini terdapat empat (4) buah fasiliti kemudahan pemerolehan kembali luar tapak bagi kod SW 103. Teknologi pemerolehan kembali bateri terpakai melibatkan usaha untuk mengitar semula bahan berharga dalam bateri seperti litium, kobalt dan nikel dan pada masa yang sama dapat mengurangkan sisa dan impak kepada alam sekitar. Antara teknologi yang digunakan dalam kitar semula bateri terpakai ialah:

  1. Pengumpulan dan Pemisahan awal yang melibatkan pengasingan bateri melalui jenis bateri sama ada bateri litium-ion, nikel-kadmium dan sebagainya. Seterusnya proses nyahcas bateri akan dilakukan bagi mengelakkan risiko letupan atau kebakaran semasa kitar semula. Plat bateri seterusnya akan melalui proses pemecahan sehingga menjadi metal oxide powder (black mass) sebelum dihantar untuk proses hidrometalurgi;

  2. Teknologi Hidrometalurgi yang menggunakan kaedah larutan kimia untuk melarutkan bahan aktif dalam bateri. Di dalam proses ini unsur seperti litium, kobalt dan mangan dapat diasingkan melalui proses elektrolisis; dan

  3. Teknologi Pirometalurgi melibatkan pembakaran bateri pada suhu tinggi untuk mengekstrak logam berharga. Proses ini lebih cepat tetapi menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi.


  1. Teknologi kitar semula bateri terpakai ini dapat meminimumkan pembuangan bateri terpakai ke alam sekitar dan seterusnya menyokong ekonomi kitaran yang mampan. Kemudahan sedia ada ini berkeupayaan untuk pengurusan sisa bateri EV yang ada dalam Negara.


  1. Dengan pelaksanaan strategi tersebut, Kementerian berharap dapat memastikan bahawa pertumbuhan industri EV di Malaysia berjalan seiring dengan perlindungan alam sekitar yang ketat dan membuka peluang baharu dalam ekonomi kitaran.


Sekian, terima kasih.

Attachments