Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 06 August 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 16 | Soalan | Tuan Haji Onn bin Abu Bakar [ Batu Pahat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah dasar jangka panjang Kementerian dalam pengurusan sumber air bawah tanah serta potensi penggunaannya secara mampan dalam sektor industri seperti Pusat Data dan sektor pertanian.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Dasar Jangka Panjang Kementerian Dalam Pengurusan Sumber Air Bawah Tanah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berperanan sebagai agensi tunggak di bawah Pelan Haja Tuju Transformasi Air 2040 (AIR2040) bagi pengurusan air bawah tanah. Pelan ini mengunjurkan sasaran penggunaan air bawah tanah sebanyak 20% di Malaysia menjelang 2035.
Bagi mencapai sasaran ini, antara strategi yang sedang dan akan diambil adalah :
Melaksanakan Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah (PABT) di seluruh negara di mana pada ketika ini sedang dijalankan di tiga (3) buah negeri iaitu di Kedah, Melaka dan Pantai Barat Sabah. Manakala bagi negeri-negeri lain akan dimohon menerusi peruntukan RMKe-13. Penggunaan teknologi terkini seperti survei awangan (airborne survey) serta lain-lain teknologi moden lain sedang dalam perancangan bagi mempercepatkan pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah di seluruh negara; Memperkukuh dasar dan perundangan menerusi:
penggubalan Rang Undang-Undang Survei Geologi dan Geosains (RUU SGG) bagi menggantikan Akta Penyiasatan Kajibumi 1974, di mana peruntukan dan peraturan berkaitan air bawah tanah akan ditambah baik; penyediaan Pelan Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah yang akan menjadi dokumen rujukan utama bagi pembangunan air bawah tanah di Malaysia serta mengarusperdanakan sumber air bawah tanah sebagai sumber alternatif dan strategik; dan
Memperkasakan Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia (MyGEMS) sebagai pusat rujukan data berkaitan air bawah tanah kepada semua pemain industri dan individu yang berhasrat untuk membangunkan air bawah tanah.
Potensi Penggunaan Air Bawah Tanah Secara Mampan Dalam Sektor Industri Seperti Pusat Data Dan Sektor Pertanian Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA), sebanyak 5,000 billion meter padu sumber air bawah tanah dalam negara berpotensi untuk dimajukan di dalam pelbagai sektor seperti pusat data, pertanian, domestik, industri dan lain-lain. Pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah yang sedang dilaksanakan dapat mengenalpasti medan telaga serta zon imbuhan air bawah tanah antaranya bagi memenuhi keperluan industri dan pertanian.
Bagi memastikan penggunaan sumber air bawah tanah secara mampan, JMG melaksanakan pemantauan berkala secara manual serta pemantauan secara real-time bagi mengesan perubahan kualiti dan paras air bawah tanah yang mendadak terutamanya semasa menghadapi perubahan iklim serantau (global climate change).
Kementerian melalui JMG juga turut bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Air Negeri bagi memantau dan menguatkuasa permohonan lesen abstraksi air bawah tanah bagi memastikan pembinaan telaga dan pengabstrakan air bawah tanah adalah mengikut garis panduan sedia ada.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|