Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 31 July 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 58 | Soalan | Dato' Azman bin Nasrudin [ Padang Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan laporan pencemaran udara di Wilayah Persekutuan yang melebihi paras WHO pada 2025 termasuk punca utama dan pelan jangka panjang untuk mengurangkan pelepasan karbon.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan data yang direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 29 Julai 2025, 4 stesen pemantauan kualiti udara di Wilayah Persekutuan iaitu Batu Muda, Cheras, Putrajaya dan Labuan menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap ‘baik’ dan ‘sederhana’ pada kebanyakan masa. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, terdapat bacaan IPU yang direkodkan pada tahap ‘tidak sihat’ iaitu Batu Muda (1 hari), Cheras (10 hari) dan Putrajaya (3 hari). Bacaan ini telah melangkaui paras garis panduan kualiti udara yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization – WHO).
Walaupun status bacaan IPU keseluruhan masih berada dalam kategori terkawal, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius cabaran berkaitan pencemaran udara di kawasan bandar utama. Antara punca utama pencemaran udara di Wilayah Persekutuan adalah pelepasan asap kenderaan bermotor yang merupakan penyumbang utama kepada zarah halus (PM2.5), diikuti dengan pelepasan daripada aktiviti perindustrian dan pembakaran terbuka.
Selain itu, jerebu merentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di Negara jiran turut menjejaskan kualiti udara serta meningkatkan bacaan IPU kepada tahap ‘tidak sihat’ pada 20 hingga 23 Julai 2025. Situasi ini susulan Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Negara-negara di selatan rantau ASEAN. Walau bagaimanapun, sejak 24 Julai 2025, bacaan IPU di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah kembali kepada tahap ‘sederhana’ susulan situasi jerebu merentas sempadan yang semakin pulih.
NRES kekal komited untuk meningkatkan tahap kualiti udara Negara melalui pendekatan yang menyeluruh dan sentiasa meningkatkan kerjasama erat antara Agensi Kerajaan, industri, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat awam. NRES juga sedang memperkukuh sistem pemantauan dan memperketat penguatkuasaan terhadap sektor industri dan pengangkutan yang tidak mematuhi standard pencemaran udara serta mempergiatkan pencegahan dan pemantauan pembakaran terbuka bagi pencemaran ini. Selain itu, program kesedaran awam turut dijalankan secara berterusan termasuk kempen Langit Biru dan Program Komuniti Hijau dengan penglibatan aktif masyarakat serta pelajar sekolah dalam penjagaan alam sekitar.
Pelbagai inisiatif pengurangan pelepasan karbon telah dilaksanakan oleh NRES antaranya penerbitan dokumen Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emission Development Strategies - LT-LEDS). Dokumen ini menggariskan langkah-langkah bagi mencapai sasaran sifar bersih karbon Negara pada tahun 2050.
Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2030. Selain itu, Kerajaan juga telah mengumumkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050.
Mengambil kira penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) Malaysia, NRES selaku National Focal Point Malaysia kepada UNFCCC dan Perjanjian Paris telah meluncurkan dokumen Pelan Tindakan dan Hala Tuju Nationally Determined Contribution Roadmap and Action Plan (NDC RAP). Dokumen ini menggunakan data inventori GHG Negara yang diterbitkan di dalam Biennial Update Report yang Keempat (BUR4) sebagai asas dan menggabungkan dasar-dasar peringkat sektoral dan tindakan mitigasi mengikut tiga senario bagi mengunjurkan data-data pelepasan GHG dan penyerapan sektor perhutanan, bagi melihat pencapaian NDC Malaysia pada tahun 2030.
NRES akan terus memastikan usaha berterusan ini dilaksanakan ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan seiring usaha meningkatkan kualiti udara Negara demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|