Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 31 July 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 51 | Soalan | Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan kandungan utama RUUPIN dan sejauh mana ia dapat memperkukuh komitmen Malaysia dalam pengurangan pelepasan karbon.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kandungan Utama Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN)
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, negara kita sentiasa komited dalam merangka strategi dan dasar bagi menghadapi isu berkaitan ancaman perubahan iklim. Dalam hal ini, di bawah Perjanjian Paris, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (green house gas - GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2030 sebagai sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) negara. Selain itu juga, kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050.
Buat masa ini Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus bagi pelaksanaan tindakan perubahan iklim negara agar obligasi negara di bawah Perjanjian Paris dapat dipenuhi. Oleh yang demikian, Mesyuarat Keenam Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 21 April 2025 telah bersetuju dengan cadangan penggubalan Rang Undang Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN).
Sebagai perundangan utama mengawal selia tadbir urus perubahan iklim di Malaysia, RUUPIN mengandungi peruntukan utama seperti berikut:
kuasa Menteri untuk menetapkan sasaran mitigasi dan adaptasi perubahan iklim termasuk kuasa penguatkuasaan dan penalti bagi memastikan pematuhan dapat dilaksanakan secara efektif; memperuntukkan mengenai skim perdagangan pelepasan (Emission trading scheme - ETS) iaitu satu mekanisma yang menghadkan pelepasan GHG di peringkat fasiliti; obligasi kepada fasiliti untuk menyediakan pelaporan tahunan bagi memastikan ambang yang ditetapkan adalah sesuai dengan pelepasan GHG fasiliti serta bagi tujuan pemantauan; tadbir urus projek-projek karbon bagi menghasilkan kredit karbon di bawah Perjanjian Paris yang dikenali sebagai Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMOs); peruntukan bagi menubuhkan sebuah registri dan platform maklumat agar instrumen pasaran karbon dapat dilaksanakan secara berkesan dan sistematik; penubuhan badan berkanun bagi mengawal selia RUUPIN; dan penubuhan Majlis Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta dianggotai oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Premier Sarawak bagi tujuan menasihati hala tuju perubahan iklim negara serta membincangkan isu-isu berkaitan perubahan iklim di peringkat nasional.
Peranan RUUPIN Dalam Membantu Komitmen Malaysia Untuk Pengurangan Pelepasan Karbon
RUUPIN memberi mandat secara perundangan kepada kerajaan untuk mengawal selia pelepasan gas rumah kaca oleh fasiliti di samping mengawal selia aktiviti berkaitan ITMOs dalam negara secara langsung melalui instrumen pasaran dan tadbir urus yang sejajar dengan komitmen pengurangan karbon negara.
Selain itu, RUUPIN boleh meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui mekanisme pengukuran dan pelaporan pelepasan karbon serta menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon melalui pelaksanaan pasaran karbon.
Oleh yang demikian, pelaksanaan RUUPIN ini akan secara langsung menyumbang kepada sasaran sasaran NDC negara melalui peningkatan tadbir urus serta instrumen pasaran ini bagi memastikan obligasi negara di bawah Perjanjian Paris dapat dicapai.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|