Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 31 July 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Biodiversiti, PERHILITAN | Nombor Soalan | 4 | Soalan | Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan jangka panjang Kementerian dalam menangani konflik haiwan dan manusia dan menangani peningkatan kes gangguan hidupan liar di Gua Musang.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelbagai tindakan mitigasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar yang berlaku termasuk gangguan hidupan liar di Gua Musang termasuk membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal sepanjang 5.0 km di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Orang Asli Pos Aring 5 serta memasang sebanyak 45 unit perangkap hidupan liar.
Jabatan PERHILITAN juga telah melaksanakan Program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEGKOM) sepanjang 1.6 kilometer di Ladang Subong dengan kos sebanyak RM50,000. Ini merupakan projek komuniti yang pertama di Kelantan yang memberi manfaat kepada lebih daripada 3,500 penduduk kampung yang tinggal di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Subong, Kampung Sungai Terah, Kampung Awek dan Kampung Kundur.
Dari aspek perancangan jangka panjang pula, antara tindakan yang akan diberi penekanan oleh Jabatan PERHILITAN adalah seperti berikut:
membina lebih banyak Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal, meningkatkan pengurusannya dan menggalakkan penglibatan penduduk kampung dalam Program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Gajah; meningkatkan pelaksanaan kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik; meningkatkan program kesedaran awam dan sesi libat urus dengan pemegang taruh yang terlibat dengan pembangunan tanah di habitat hidupan liar serta pengurusan konflik hidupan liar sebagai mitigasi dengan komuniti setempat mengenai pengurusan konflik manusia dan hidupan liar serta mengetengahkan peranan dalam kewujudan bersama (coexist); menggalakkan penternak haiwan membina kurungan ternakan dengan lebih kukuh dan menguruskan haiwan ternakan dengan lebih sistematik dan bertanggungjawab; dan melaksanakan tindakan-tindakan yang digariskan oleh Malayan Tiger Crisis Action Plan 2021-2030 (MTCAP) dan .National Elephant Conservation Action Plan 2023-2030 (NECAP 2.0) bagi pengurusan Harimau Malaya dan Gajah Asia yang lebih menyeluruh.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|