Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 28 July 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 66 | Soalan | Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi jangka sederhana dan panjang untuk mempercepat pembangunan keupayaan huluan dan hiliran dalam industri unsur nadir bumi (REE) khususnya dalam pemprosesan lanjutan dan penghasilan produk bernilai tinggi agar Malaysia tidak terus bergantung kepada eksport mentah dan kekal relevan dalam ekonomi teknologi hijau global.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan menetapkan matlamat untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri unsur nadir bumi (REE) merangkumi aktiviti perlombongan, pemprosesan, penghasilan produk bernilai tambah, sehinggalah kepada penggunaan semula bahan REE. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah merangka strategi pembangunan industri REE secara berfasa merangkumi fasa jangka pendek bermula tahun 2025 hingga 2027, fasa jangka sederhana bermula tahun 2027 hingga 2030 dan fasa jangka panjang selepas tahun 2030.
Sebagai sokongan untuk pembangunan industri di peringkat pertengahan, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah REE pada fasa jangka pendek. Dalam masa yang sama, rundingan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara giat dijalankan untuk memastikan loji pemprosesan tempatan bagi penulenan dan pemisahan elemen REE, kilang pembuatan logam atau aloi REE, serta kilang pembuatan super magnet diwujudkan di Malaysia. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalakkan untuk terlibat dalam usaha ini bagi memastikan berlaku pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan.
Berdasarkan situasi geopolitik global dan sebagai strategi diplomasi negara, Kerajaan melihat keperluan untuk Malaysia membangunkan industri pertengahan REE yang melibatkan kerjasama teknologi dan pelaburan dari China dan bukan China. Dalam hal ini, hubungan rapat dengan China serta kewujudan loji pemprosesan REE milik Lynas di Kuantan, Pahang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat ini.
Dalam masa yang sama, Kerajaan juga menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan tempatan dalam merealisasikan matlamat pewujudan industri pemprosesan dalam negara. Beberapa syarikat tempatan pada ketika ini sedang menjalankan usaha tersebut dengan kerjasama kepakaran dalam dan luar negara. Namun demikian, ia masih bergantung kepada penilaian daya maju dan mengambil kira faktor seperti sumber bahan mentah, kapasiti kewangan dan permintaan pasaran.
Pada fasa jangka sederhana, larangan pengeksportan mentah REE akan diteruskan mengambil kira jangkaan loji pemprosesan telah wujud di dalam negara untuk memproses sumber REE tempatan. Industri REE di peringkat pertengahan pada fasa ini boleh menerima input sumber dari luar negara dan hasil pengeluarannya pula boleh dieksport sekiranya permintaan tempatan telah dipenuhi. Pada fasa ini juga, rundingan untuk menarik pelabur bagi membangunkan industri pembuatan motor elektrik dan kitar / guna semula REE dibuat bagi memastikan industri REE negara mempunyai rantaian nilai yang lengkap.
Seterusnya, pada fasa jangka panjang, Malaysia disasarkan untuk memiliki rantaian industri yang lengkap bermula dari aktiviti perlombongan hingga kepada industri kitar / guna semula dan menjadi hab industri REE serantau dan global.
Bagi memastikan pelaksanaan strategi ini berjalan lancar, Kerajaan telah menubuhkan Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri REE melibatkan YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku Pengerusi Special Task Force, dan keahlian terdiri daripada YB Menteri Ekonomi, YB Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Menteri Kewangan II dan YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Penubuhan Special Task Force ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan tindakan dan inisiatif dalam membangunkan industri ini dibuat dengan lebih bersinergi.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|