Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

28 July 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

23

Soalan

Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong [ Ayer Hitam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pendirian Kementerian berhubung perlombongan unsur nadir bumi di Malaysia dan apakah hasil dapatan kajian yang mendorong keputusan Kementerian untuk menggalakkan aktiviti perlombongan nadir bumi serta bagaimana Kementerian mengimbangkan kekhuatiran orang ramai dari segi risiko pencemaran, kelembapan teknologi, keselamatan sumber air dan kesihatan demi kepentingan awam.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,​


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengenal pasti unsur nadir bumi (REE) sebagai salah satu sumber mineral strategik negara yang berpotensi memberi impak yang signifikan kepada ekonomi negara. Untuk merealisasikan potensi tersebut, industri REE perlu dibangunkan secara keseluruhan rantaian nilai meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran selaras dengan pernyataan dasar kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3). Namun begitu, pembangunan industri ini mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.


  1. Berdasarkan Kajian di bawah RMKe-11, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenal pasti sumber teragak atau inferred resources REE sebanyak 16.1 juta tan metrik. Walau bagaimanapun, kajian susulan masih perlu dibuat bagi mendapatkan kuantiti sumber terukur atau measured resource dan seterusnya sumber yang boleh dilombong. Semakan lanjut yang dibuat oleh JMG mengenal pasti anggaran seluas 144,220 hektar kawasan di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK) dikenal pasti berpotensi untuk diusaha hasilkan sebagai lombong REE, tertakluk kepada penilaian lanjut dan kelulusan berkaitan.


  1. Bagi memastikan operasi perlombongan REE dijalankan secara selamat, mampan dan bertanggungjawab, JMG sebagai agensi teknikal utama akan mengawalselia aktiviti perlombongan melalui penguatkuasaan Akta Pembangunan Mineral 1994, termasuk aspek kawalan pencemaran dan keselamatan operasi secara berkala. Mengambil mekanisme kawal selia yang dilaksanakan di negeri Perak, pengawasan ini turut diperkukuhkan melalui penubuhan Jawatankuasa Kawal Selia Teknikal Perlombongan REE Negeri Perak yang melibatkan kerjasama daripada 10 agensi teknikal di peringkat Persekutuan dan Negeri.


  1. Kementerian juga telah melantik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menjalankan kajian penilaian impak perlombongan REE terhadap ekosistem hutan. Kajian tersebut yang turut merangkumi kajian awal yang telah dibuat di projek perlombongan REE di Mukim Kenering, Perak yang mana pengekstrakan REE berlaku dalam ladang getah.


  1. Dari aspek teknologi, sehingga kini, operasi di projek perlombongan REE di Mukim Kenering, Gerik, Perak dijalankan menggunakan kaedah ISL melalui kerjasama teknologi dari China. Namun begitu, adalah menjadi dasar Kementerian untuk menggalakkan pembangunan kepakaran tempatan di peringkat huluan dan pertengahan melalui perkongsian teknologi secara terancang dan progresif.


  1. Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan industri ini mengimbangi potensi ekonomi dengan kebimbangan masyarakat dari segi risiko pencemaran, keselamatan sumber air, kesihatan awam dan keupayaan teknologi tempatan. Justeru, Kerajaan akan meneruskan usaha melalui kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan pembangunan industri REE negara mencapai matlamat kemakmuran ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.

 

Sekian, terima kasih.

Attachments