Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

28 July 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

20

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan:

  1. implikasi secara keseluruhan dan komitmen global mitigasi iklim akibat tindakan penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris; dan

  2. bagaimanakah Malaysia akan menyesuaikan dasar dan pelaksanaan RUU Perubahan Iklim negara dalam konteks ketidaktentuan geopolitik ini.


Jawapan

Soalan (a)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengunduran Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris pada 20 Januari 2025 akan mengambil masa setahun untuk ianya efektif daripada tempoh pengumuman perkara tersebut. Ini bermaksud Amerika Syarikat masih terikat dan merupakan ahli Perjanjian Paris buat masa ini.


  1. Antara kesan yang dijangka adalah mengenai sumber pembiayaan iklim yang perlu digalas oleh negara-negara maju. Perkara utama ini telah dipersetujui pada Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP 29 yang telah berlangsung di Baku, Azerbaijan pada tahun lalu.


  1. Selain itu, di peringkat domestik, penggunaan bahan api fosil juga dijangka mendapat lonjakan. Di bawah kepimpinan Presiden Donald John Trump, isyarat yang telah diberikan oleh Amerika Syarikat menunjukkan bahawa negara itu akan meningkatkan pengeluaran minyak dan gas. Selain itu, Amerika Syarikat juga akan memansuhkan dasar-dasar berkaitan perubahan iklim penting yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu iaitu Presiden Joe Biden yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon.


  1. Daripada segi rundingan pula, dasar terkini Amerika Syarikat dijangka turut memberi kesan terhadap agenda berkaitan mitigasi, khususnya berhubung aspek pelaksanaan dan pengoperasian keputusan-keputusan yang telah dicapai dalam Conference of Parties sebelum ini. 


Soalan (b)


  1. Malaysia perlu menyesuaikan dasar yang terkesan secara langsung terhadap tindakan Amerika Syarikat ini, khususnya yang melibatkan perdagangan serta sektor tenaga. Bagi Kementerian ini, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenai ketidaktentuan peruntukan pembiayaan antarabangsa di bawah UNFCCC. 


  1. Walaupun akses pembiayaan iklim global adalah diberikan untuk kesemua negara membangun termasuk Malaysia, cabaran yang bakal dihadapi oleh negara-negara tersebut di antaranya akan melibatkan pemilihan keutamaan, jenis serta jumlah pembiayaan projek. 


  1. Di peringkat domestik, langkah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan iklim ini telah pun bermula. Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang telah dilancarkan pada tahun 2024 menekankan berkaitan pembiayaan campuran (blended finance) dan instrumen pasaran yang mampan untuk meningkatkan penglibatan pihak swasta di dalam ekonomi hijau. 


  1. Selain itu, kerajaan juga sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi membolehkan pelaksanaan pasaran karbon di Malaysia beroperasi sepenuhnya. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. 


  1. Melalui inisiatif ini, dijangka kesan geopolitik dapat dikurangkan. Namun, negara akan terus aktif dan komited bagi menyumbang kepada usaha menangani isu perubahan iklim di peringkat global. 


  1. Tindakan Amerika Syarikat ini dijangka tidak akan menjejaskan pelaksanaan RUUPIN memandangkan rang undang-undang ini telah dirangka untuk memastikan  tindakan iklim di peringkat domestik dapat dibuat secara efektif kerana ianya berfokuskan kepada industri-industri di dalam negara. 


Sekian, terima kasih.

Attachments