Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak memiliki data mengenai permohonan bagi penetapan sesuatu tanah sebagai Tanah Rizab Melayu (TRM) memandangkan permohonan tersebut diterima dan dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan Enakmen-enakmen Tanah Rizab Melayu negeri masing-masing.
Kementerian ini melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) hanya berperanan memantau dan menyelaras dasar di peringkat Persekutuan ke atas tanah-tanah hak milik atau rizab tanah Persekutuan sahaja. Dalam hubungan ini, perincian permohonan penetapan TRM mengikut negeri boleh diperolehi daripada setiap pentadbiran tanah negeri. Secara amnya, kriteria utama yang digunakan dalam menimbang dan meluluskan permohonan adalah seperti berikut:
Kesesuaian Lokasi: Lokasi tanah hendaklah bersesuaian dengan aspek perancangan guna tanah semasa dan potensi dimanfaatkan oleh orang Melayu;
Status Hak Milik: Tanah tersebut hendaklah berada dalam hak milik kerajaan atau persetujuan pemilik jika melibatkan tanah persendirian;
Kelulusan Pihak Berkuasa Negeri: Permohonan hendaklah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan muktamad;
Keserasian Perancangan: Penetapan sebagai TRM tidak bercanggah dengan rancangan struktur atau rancangan tempatan yang telah diwartakan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT); dan
Keperluan Komuniti Melayu: Pertimbangan akan diberikan kepada keperluan untuk mengekalkan atau menambah keluasan tanah yang boleh dimiliki oleh orang Melayu, terutama di kawasan berpenduduk Melayu yang padat.
Sekian, terima kasih.