Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

22 July 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

35

Soalan

Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah strategik dan inovatif yang sedang diambil untuk menyelesaikan masalah banjir bermusim di negeri-negeri terjejas termasuk aspek pemuliharaan kawasan tadahan air, pencurian hutan secara berterusan dan pengurusan risiko bencana secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat sehingga dilihat kerajaan dianggap kurang cekap.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Ancaman perubahan iklim seperti banjir memberikan impak ketara kepada pelbagai sektor ekonomi dan turut menjejaskan kesejahteraan penduduk. Menyedari hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan pelbagai langkah strategik dan bersepadu bagi menangani isu banjir bermusim yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.


  1. Dalam aspek pemuliharaan kawasan hutan, NRES telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam membanteras aktiviti pencerobohan haram. Antaranya inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk:


  1. pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2022, antara lain turut meliputi peningkatan kadar dan penetapan hukuman yang lebih berat ke atas kesalahan-kesalahan hutan termasuk pengambilan hasil hutan secara haram;


  1. keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 pada tahun 2021 juga telah bersetuju supaya semua Kerajaan Negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di negeri masing-masing;


  1. penubuhan Pusat Pemantauan Sumber Hutan (War Room @ JPSM) yang ditadbir oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk menjalankan pemantauan berterusan menggunakan imej satelit terkini bagi keseluruhan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia secara harian; dan


  1. memperkukuhkan kerjasama dan koordinasi antara peringkat Persekutuan dan Negeri dalam memantau aktiviti pembalakan dan pencerobohan hutan di seluruh negara.

 ​

  1. Seterusnya NRES juga turut menekankan pembangunan industri mineral secara bertanggungjawab dan mampan. Pendekatan ini menitikberatkan keseimbangan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan ekosistem. Antara langkah yang diambil selaras dengan prinsip tersebut adalah seperti berikut:


  1. di peringkat perancangan aktiviti perlombongan, kelulusan laporan penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) diperlukan sekiranya aktiviti perlombongan yang hendak dijalankan tertakluk kepada Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian EIA) 2015. EIA merupakan instrumen penting bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang berpotensi membawa risiko bencana seperti tanah runtuh dan banjir dikenal pasti pada peringkat perancangan dan langkah mitigasi akan dirangka sewajarnya;


  1. seterusnya, di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994, aspek pengurusan risiko banjir daripada aktiviti perlombongan turut diberikan perhatian. Ini termasuklah keperluan mengemukakan Skim Pengendalian Melombong sebelum memulakan operasi  yang mesti merangkumi aspek pengurusan air lombong, kawalan hakisan, sistem saliran air hujan, kolam tadahan dan tebatan banjir. Akta ini berfungsi sebagai instrumen kawal selia dalam mencegah impak negatif risiko banjir akibat aktiviti perlombongan melalui peruntukan kelulusan teknikal, penguatkuasaan kejuruteraan lombong, dan pemantauan berterusan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Kuasa ini digunakan secara proaktif untuk memastikan operasi perlombongan tidak menyebabkan kesan buruk terhadap sistem hidrologi tempatan; dan


  1. NRES melalui JMG juga menerbitkan pelbagai garis panduan dan amalan terbaik untuk meningkatkan kemampanan sektor perlombongan di Malaysia serta memastikan pembangunan industri mineral memberi manfaat kepada ekonomi, masyarakat, dan alam sekitar.

 

  1. Dalam usaha untuk mitigasi dan adaptasi isu perubahan iklim negara, NRES dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan pelbagai strategi seperti berikut:


  1. Pembangunan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. MyNAP ini adalah bersifat menyeluruh dan akan memerlukan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat pusat dan kerajaan negeri.


  1. Di samping itu juga, Kementerian ini juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini digubal adalah untuk memastikan tindakan-tindakan mitigasi dan adaptasi yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.


  1. Pembangunan sistem ramalan cuaca negara oleh MET Malaysia yang merangkumi sistem rangkaian pencerapan, sistem pemprosesan dan sistem penyampaian agar selari dengan teknologi terkini dan keperluan semasa. Produk-produk model ramalan cuaca yang baharu ini membolehkan Jabatan menjangkakan risiko bencana cuaca 14 hari lebih awal berbanding hanya tujuh hari pada ketika ini. 

 

  1. NRES komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan dasar dan tindakan yang holistik merangkumi aspek pemuliharaan hutan, pembangunan industri mineral secara mampan serta pelaksanaan strategi mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Usaha berterusan ini memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi teknikal serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak positif kepada alam sekitar, ekonomi dan masyarakat secara keseluruhannya.


Sekian, terima kasih.



Attachments