Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
1. Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), kejadian lubang benam yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh lima (5) tahun terakhir (2019-2024) adalah sebanyak 24 kejadian dengan jumlah tertinggi sebanyak 11 kejadian di Perak, diikuti tiga (3) kejadian di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua (2) kejadian di Kelantan dan masing-masing satu (1) kejadian di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.
Soalan (b)
2. Kementerian ini melalui JMG sentiasa komited dalam usaha pengurangan risiko bencana geologi di kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi lubang benam untuk memastikan keselamatan awam terjaga.
3. JMG merupakan agensi teknikal tetap dalam Jawatankuasa Majlis Perancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan, Rancangan Khas Kawasan dan Pusat Setempat (OSC). JMG berperanan memberikan ulasan berkaitan penilaian bahaya dan risiko geologi dan turut terlibat dalam penggubalan piawaian terhadap perancangan pembangunan negara di semua peringkat.
4. Kementerian bersetuju terhadap sebarang semakan semula terhadap piawaian pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi khususnya kawasan lubang benam. Maklumat utama yang perlu diberi penekanan adalah maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan yang menjadi asas kepada penyediaan laporan cadangan pemajuan dan laporan geoteknikal.
5. Sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan ke atas kelulusan yang diberikan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi yang bertanggungjawab dalam sesuatu pembangunan. Dalam pada itu, Kementerian melalui JMG sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal kepada pihak berkepentingan dalam mengenalpasti punca bahaya dan risiko bencana geologi yang dihadapi.
Sekian, terima kasih.